Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Rancangan Projek Bangkit TV AlHijrah yang memasuki tayangan episod kedua pada Sabtu menyaksikan pengusaha biskut Cookies Trading, Nurul Asyiqin Mohamad Ramli muncul sebagai pemenang mingguan dengan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000.00.
Kejayaan beliau diumumkan selepas berjaya menambat hati para juri dengan penonjolan pemasaran yang mantap, teknik pemasaran kreatif serta inovasi produk Cocokins yang dilihat berpotensi besar untuk dikembangkan ke pasaran lebih luas.
Selain itu, episod kali ini turut menampilkan dua lagi peserta usahawan Muslim yang sedang mengorak langkah dalam bidang perniagaan, iaitu Mohd Asib Ismail Gany (Burger Asib) dan Kharudin Harun (kraf tangan kayu).
Ketiga-tiga peserta dinilai oleh barisan juri berpengalaman yang terdiri daripada Dato’ Rosyam Nor selaku ketua juri, Ajak Shiro serta Talmizi Ahmad, wakil usahawan berjaya dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Episod tersebut bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada peserta, malah memaparkan setiap individu berhak membina semula kehidupan berpaksikan usaha, bimbingan dan keyakinan bahawa rezeki datang dengan niat yang baik.
Menurut Pengurus Kanan Jabatan Kandungan TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar, episod kedua ini memperlihatkan keikhlasan dan kesungguhan para peserta berupaya mengubah keadaan titik lemah menjadi sebuah kekuatan baharu.
“Setiap peserta membawa kisah perjuangan yang berbeza, tetapi semuanya membuktikan bahawa ilmu, peluang dan semangat mampu membuka jalan keluar daripada belenggu kemiskinan,” katanya.
Tambah beliau lagi, Projek Bangkit bukan sekadar memberikan ruang kepada peserta untuk membina perniagaan, malah menjadi platform bagi pembentukan jati diri.
“Kami mahu peserta keluar dari zon selesa dan benar-benar memahami erti berdikari.
“Apabila mereka belajar merancang, berkomunikasi dan memasarkan produk sendiri, di situlah bermulanya kebangkitan sebenar,” jelasnya.
Projek Bangkit merupakan inisiatif strategik MAIWP dan TV AlHijrah untuk memperkasakan komuniti asnaf melalui pendekatan rancangan realiti televisyen yang membimbing peserta secara praktikal, bermula daripada latihan asas perniagaan sehingga cabaran dunia sebenar.
Program yang bersiaran pada setiap Sabtu, pukul 9.00 malam di TV AlHijrah itu mengetengahkan kisah benar tentang perjuangan usahawan kecil dari seluruh Malaysia yang tidak pernah menyerah walaupun berhadapan dengan cabaran ekonomi dan kekangan modal.
Di samping itu, penerbitan rancangan Projek Bangkit bermatlamat memberikan inspirasi kepada masyarakat agar terus berusaha memperkukuh daya tahan ekonomi umat melalui keusahawanan berasaskan nilai Islam.
Program ini dilihat sebagai gerakan perubahan yang membuka mata masyarakat bahawa asnaf bukan golongan lemah, tetapi pejuang yang sedang mencari peluang untuk berdiri teguh atas usaha sendiri.