Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPadang Besar – “Teknologi seharusnya menjadi pemangkin kemuliaan insan dan bukannya pengganti kepada fitrah manusia,” titah Raja Muda Perlis Duli Yang Teramat Mulia (DYTM),Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda bertitah bahawa inovasi yang benar-benar memberikan makna ialah inovasi yang berpotensi memperkasakan, memelihara serta memanusiakan kehidupan agar tidak terpisah daripada tanggungjawab sosial dan kesejahteraan rakyat.
“Setiap ciptaan dan idea baharu sama ada lahir dari universiti mahupun industri hendaklah sentiasa mengambil kira kesejahteraan manusia dan kemaslahatan ummah,” ujar baginda.
Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat menyempurnakan Program Hijrah Minda anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di Masjid Al-Firdaus, Padang Besar Selatan, hari ini.
Keberangkatan tiba baginda diiringi oleh anakandanya, YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, dan disambut oleh para pegawai MAIPs serta penduduk setempat.
Menurut baginda, kemajuan negeri dan negara bergantung kepada kerjasama erat antara semua pihak termasuk universiti, industri dan komuniti.
“Universiti menyumbang ilmu dan penyelidikan, industri menawarkan kepakaran dan peluang, manakala komuniti menjadi penerima manfaat yang turut menyumbang perspektif dan keperluan sebenar rakyat,” titah baginda lagi.
Titah baginda, sinergi ini selari dengan pendekatan whole-of-government, whole-of-society (WOGOS) yang menekankan kerjasama menyeluruh bagi memastikan dasar dilaksanakan dengan berkesan serta kesejahteraan negeri dan negara dicapai secara inklusif.
Pada masa yang sama, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan agihan zakat MAIPs kepada 45 orang asnaf terpilih daripada Anak Kariah Padang Besar Selatan, Al-Hussain dan Tok Kaya Tanjong Gelam.

Setiap penerima menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM700, menjadikan jumlah keseluruhan agihan mencecah RM31,500 pada majlis berkenaan.
Program berimpak sosial tinggi ini mencerminkan komitmen berterusan MAIPs di bawah naungan DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam menyantuni golongan memerlukan, memperkukuh nilai murni serta memelihara kesejahteraan ummah di negeri ini.