Syaza Wardina .
Diterbitkan pada 17 Oktober 2025, 08:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – TV AlHijrah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama-sama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), semalam, bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang media, dakwah dan pembangunan insaniah.

MoU yang dimeterai itu menjadi langkah strategik kedua-dua pihak untuk menerbitkan kandungan kreatif, mempromosikan program MAIWP, serta melaksanakan projek tanggungjawab sosial korporat dan inisiatif pembangunan ummah yang menyeluruh.

Ketua Pegawai Operasi TV AlHijrah, Puan Nadzariah Mohamed berkata, kerjasama ini merupakan usaha penting dalam memperkasakan agenda pemberdayaan ekonomi ummah.

“Projek Bangkit bukan sekadar pertandingan, tetapi medan membina keyakinan dan membuka ruang baharu kepada usahawan untuk berkembang.

“Kami yakin sinergi bersama-sama MAIWP mampu menjadikan program ini sebagai batu loncatan besar bagi peserta yang terpilih,” katanya.

Beliau turut menegaskan MoU ini selaras dengan misi TV AlHijrah untuk kekal sebagai stesen penyiaran Islam utama negara dan medium yang mengangkat kisah kejayaan usahawan Muslim.

“Dengan sokongan produksi dan platform penyiaran TV AlHijrah, Projek Bangkit akan mencipta impak besar bukan sahaja kepada peserta, malah kepada masyarakat luas yang menyaksikannya,” ujarnya.

Antara projek utama hasil MoU ini termasuklah Projek Bangkit, iaitu program realiti keusahawanan anjuran MAIWP dengan kerjasama TV AlHijrah yang bakal disiarkan selama lapan minggu.

Program tersebut akan menampilkan tiga peserta setiap minggu yang mempersembahkan produk dan idea perniagaan mereka di hadapan panel juri terdiri daripada wakil MAIWP, TV AlHijrah serta usahawan selebriti jemputan.

Juara Projek Bangkit bakal menerima geran RM50,000 daripada MAIWP serta penajaan promosi pengiklanan bernilai RM1.0 juta daripada TV AlHijrah.

Selain itu, peserta turut diberi pendedahan melalui program Assalamualaikum, liputan Berita AlHijrah dan kapsul promosi melalui platform digital rasmi stesen tersebut.

Juara Projek Bangkit bakal menerima geran RM50,000 daripada MAIWP serta penajaan promosi pengiklanan bernilai RM1.0 juta daripada TV AlHijrah.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh pengurusan tertinggi kedua-dua pihak yang optimis kerjasama ini akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif bersama pada masa hadapan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi