Diterbitkan pada 15 Oktober 2025, 18:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jengka – Kerajaan Negeri Pahang terus menzahirkan iltizamnya dalam usaha memperluas jaringan ilmu dan memperkukuh kefahaman Islam dalam kalangan masyarakat di negeri itu menerusi penganjuran Program Multaqa Ulama pada Rabu.

Program yang berlangsung di Dewan Indera Segara, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kampus Jengka itu dilihat mampu memupuk semangat kerjasama bagi melaksanakan amanah dakwah, di samping memperkasakan pembangunan modal insan yang seimbang dari segi rohani dan intelektual.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Yang Berhormat (YB) Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, program tersebut menjadi wadah penting yang menyebarkan ajaran Islam dan dakwah berlandaskan manhaj Ahli Sunah Waljamaah sebagaimana yang diasaskan oleh para ulama muktabar.

“Segala nasihat dan tunjuk ajar yang disampaikan oleh para ulama, kita akan sentiasa jadikan panduan untuk menyeru umat manusia kepada Allah SWT,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian penutupan multaqa tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad ketika menyampaikan ucapannya.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin pula menegaskan bahawa Multaqa Ulama yang diadakan mengangkat darjat dan martabat universiti tersebut kerana menghimpunkan para ulama, ilmuwan, penyelidik serta cendekiawan dari dalam dan luar negara.

Jelas beliau, UITM tidak pernah mengetepikan nilai rohani dalam kalangan warganya untuk mencapai visi sebuah universiti terkemuka dunia dalam bidang sains, teknologi, kemanusiaan dan keusahawanan, sejajar dengan motonya, “Usaha, Takwa, Mulia”.

“Kehadiran kita ke majlis ilmu ini amat besar maknanya kerana majlis ilmu umpama taman syurga.

“Kita jadikan ilmu yang diperoleh sebagai panduan untuk mendepani pelbagai cabaran dunia hari ini, termasuk pluraliti agama dan perbezaan pendapat,” ujarnya.

Beliau turut menyeru masyarakat agar terus mengukuhkan pendirian mempertahankan akidah Ahli Sunah Waljamaah dengan menjadikan al-Quran dan sunah sebagai panduan utama.

Terdahulu, pelaksanaan multaqa berkenaan menampilkan pelbagai pengisian utama, termasuk pembentangan kertas, bicara mufti oleh Mufti Negeri Pahang, YBhg. Sahibus Samahah Profesor Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim dan Mufti Negeri Sabah, YBhg. Datuk Ustaz Haji Bungsu @ Aziz Haji Jaafar, serta tausiah khas daripada Habib Umar Muhammad Salim Hafidz.

Program anjuran kerajaan negeri Pahang dengan kerjasama UiTM Cawangan Kampus Jengka dan Majlis Muwasolah Ulama Bainal Muslimin itu menyaksikan acara pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) dengan Darul Mustafa li al-Dirasat al-Islamiyyah.

Pertukaran MoU antara UniPSAS dengan Darul Mustafa li al-Dirasat al-Islamiyyah yang disaksikan oleh dif kehormat.

Majlis penutupan berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Tengku Puteri Raja, Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Puteri Iman Afzan binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Selain itu, majlis itu juga dihadiri oleh Ketua Hakim Syarie Pahang, Yang Amat Arif (YAA) Dato’ Haji Abdul Walid Abu Hassan; Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Pahang, YBhg. Dato’ Haji Ahmad Khirrizal Haji Ab. Rahman dan Naib Canselor UniPSAS, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi Zainal Abidin.

Tengku Puteri Raja, YAM Tengku Puteri Iman Afzan binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Program Multaqa Ulama.
Kredit Foto: Khairul Azhar
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi