Diterbitkan pada 10 Oktober 2025, 20:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Jumaat menyaksikan sebanyak RM2.6 bilion diperuntukkan bagi memperkasakan syiar Islam di Malaysia.

Peruntukan tersebut diumumkan dengan peningkatan sebanyak RM600 juta, iaitu kira-kira 30 peratus lebih tinggi berbanding dengan tahun sebelumnya, sekali gus membuktikan komitmen berterusan kerajaan untuk memperkukuh pembangunan Islam secara menyeluruh.

Beliau berkata peruntukan tersebut merangkumi RM150 juta bagi projek menaik taraf prasarana sekolah agama rakyat dan sekolah tahfiz, termasuk penggantian peralatan pengajian yang usang di institusi pondok berdaftar.

Jelas beliau, pada masa yang sama, kerajaan komited memperkenalkan bidang ilmu baharu seperti digital, kecerdasan buatan (AI) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) demi masa hadapan generasi anak muda, di samping mempertahankan kurikulum tradisional pendidikan Islam.

Sehubungan dengan itu, sebanyak 720 orang anak tahfiz bakal dibekalkan latihan kemahiran profesional menerusi GiatMARA yang boleh dimanfaatkan setelah tamat pengajian.

Beliau turut memaklumkan bahawa pengimarahan institusi masjid sebagai pusat komuniti diperkukuh menerusi pengenalan Anugerah Masjid Malaysia bagi mengiktiraf masjid yang cemerlang, serta penganjuran Konvensyen Masjid sebagai wacana antara imam, ulama, umara, sarjana Islam serta teknokrat.

“Majlis ilmu dibanyakkan bagi meningkatkan kefahaman umat MADANI terhadap Islam.

“Inisiatif ini termasuk penganjuran Majlis Sama’ Hadis 2026 yang memberikan peluang umat Islam menghayati hadis Rasulullah SAW yang diperdengarkan secara tartil oleh para ulama,” katanya dalam pembentangan tersebut.

Jelas Anwar, kerajaan turut memperkenalkan Mushaf MADANI sebagai sebahagian daripada program tadabbur al-Quran pada peringkat nasional, selain melaksanakan pembangunan Kompleks Madinatul Quran di Putrajaya.

Beliau menambah bahawa had pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk tujuan menunaikan ibadat haji ditingkatkan kepada RM10,000.00 berbanding dengan RM3,000.00 sebelum ini.

“Untuk penjawat awam, kemudahan pengeluaran awal Award Wang Tunai Gantian Cuti Rehat (GCR) diperluas bagi tujuan menunaikan haji terhad kepada penebusan RM10,000.00 dengan peruntukan RM10 juta,” katanya.

Ujar beliau, kerajaan bakal menyalurkan sumbangan khas RM500.00 bagi menghargai khidmat 70 ribu orang guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut dengan peruntukan RM35 juta.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat (YB) Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar dalam suatu kenyataannya menyifatkan bahawa peruntukan sebagai sebuah pengiktirafan besar kerajaan terhadap usaha memperkasa syiar Islam dalam negara.

Beliau menegaskan bahawa langkah tersebut merupakan manifestasi keyakinan kerajaan terhadap peranan sektor agama untuk membina masyarakat yang teguh, beretika dan berintegriti.

Bahkan, Mohd Naim berpandangan bahawa peningkatan dana ini akan membolehkan pihaknya memperluas jangkauan program dakwah dan kebajikan Islam, menaik taraf infrastruktur institusi agama dan memastikan kesejahteraan warga kerja agama terjamin.

“Peruntukan ini merupakan pelaburan dalam pembinaan insan yang memberikan pulangan jangka panjang kepada negara,” katanya lagi.

​Oleh itu, beliau menyeru seluruh umat Islam dan agensi di bawah bidang kuasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) agar menjalankan amanah ini dengan penuh tanggungjawab.

Kredit Foto: Parlimen Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi