Arina Zata Sabila binti Musthafa Abrar .
Diterbitkan pada 10 Oktober 2025, 11:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dengan semangat “Wakaf Anda, Dakwah Kami”, TV AlHijrah telah memeterai Perjanjian Kerjasama Wakaf Tunai bersama-sama Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) bagi memperkukuh peranan media Islam untuk mendidik, menyebarkan maklumat dan menggerakkan ummah ke arah amal jariah yang berkekalan.

Kerjasama strategik ini bakal membuka ruang lebih luas kepada masyarakat untuk menyalurkan wakaf tunai bagi pelaksanaan wakaf media melalui platform media Alhijrah Media Corporation, sekali gus menyokong pelbagai inisiatif pembangunan ummah yang digerakkan oleh YWM di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, YBrs. Encik Namanzee Harris berkata, dalam dunia serba moden, ramai ingin berbuat kebaikan tetapi mencari saluran yang diyakini. 

Menurut beliau, dengan adanya kolaborasi ini, TV AlHijrah menjadi jambatan yang memudahkan penonton untuk menyertai amal kebajikan secara telus, sah dan berkesan.

“Kerjasama ini adalah titik tolak penting untuk menghubungkan masyarakat dengan peluang beramal jariah melalui medium penyiaran,” ujarnya.

“Kami percaya wakaf bukan sekadar instrumen ekonomi, tetapi suatu ibadah yang mengikat hati kita dengan Allah dan meninggalkan manfaat kepada generasi seterusnya,” jelasnya.

Namanzee turut menyeru masyarakat Islam agar menjadikan wakaf sebagai sebahagian daripada budaya hidup.

“Inilah peluang untuk kita menyumbang walaupun sedikit, kerana nilai kecil yang terkumpul mampu membina sesuatu yang besar demi manfaat agama, bangsa dan negara,” ujarnya.

Dengan termeterainya perjanjian ini, TV AlHijrah muncul sebagai media penyiaran Islam pertama di Malaysia yang mengangkat wakaf tunai sebagai agenda kerjasama rasmi, bukan sekadar kempen kesedaran, tetapi juga melalui pelaksanaan program bersama yang lebih menyeluruh.

Menerusi perjanjian ini, penonton berpeluang menyertai wakaf media dengan mudah melalui imbasan kod QR yang dipaparkan pada skrin televisyen atau di platform media digital TV AlHijrah. 

Dana wakaf yang terkumpul akan disalurkan khusus bagi membiayai kos penerbitan rancangan-rancangan dakwah dan program Islamik di TV AlHijrah, iaitu Quran@114 dan Hadith@114. 

Setiap sumbangan wakaf penonton akan terus menjadi sebahagian daripada usaha melahirkan kandungan siaran yang bermanfaat, memperluas capaian dakwah dan memberi impak berpanjangan kepada ummah.

Dengan kerjasama ini, kedua-dua pihak yakin wakaf tunai bagi pelaksanaan wakaf media akan berkembang sebagai salah satu teras pengukuhan ekonomi umat Islam, di samping menghidupkan budaya berkongsi rezeki dan menyalurkan keberkatan kepada masyarakat.

Kredit Foto: Unit Komunikasi Korporat TV AlHijrah
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi