Diterbitkan pada 9 Oktober 2025, 08:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Persidangan Serantau Manasik Haji buat julung-julung kalinya menghimpunkan peserta tempatan dan negara serantau bagi membincangkan isu hukum berkaitan dengan ibadah haji sebagai persediaan menghadapi musim haji 1447H/2026M.

Penganjurannya mencerminkan komitmen berterusan Lembaga Tabung Haji (TH) dalam usaha memperkasakan aspek bimbingan haji kepada bakal jemaah, lantas memperkukuh pengiktirafan Malaysia sebagai pembimbing ibadah haji terbaik dunia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar dalam ucapan perasmiannya berkata, pelaksanaannya bertepatan dengan keperluan semasa untuk memperkukuh peranan institusi pengurusan haji serantau yang memanfaatkan teknologi terkini bagi meningkatkan kualiti bimbingan, pengurusan dan pengalaman ibadah haji.

“Lebih daripada 50 kertas kerja dan kajian berkaitan dengan tema persidangan dan melalui platform ini dibentangkan.

“Malaysia bukan sahaja berpeluang berkongsi pengalaman, bahkan berpotensi menjadi pusat rujukan manasik haji di rantau ini,” ujarnya.

Kata Mohd Naim, hasil daripada penyelidikan dan pembentangan dalam persidangan ini bakal diterbitkan dalam bentuk jurnal, buku dan kertas kerja ilmiah yang boleh dijadikan rujukan kepada masyarakat.

Beliau menegaskan bahawa inisiatif berkenaan turut sejajar dengan aspirasi TH memperkukuh penyelidikan dan inovasi, memperluas pemindahan ilmu, serta mengoptimumkan penggunaan teknologi AI dalam bimbingan haji.

Ujar beliau, komitmen TH adalah untuk terus menyampaikan bimbingan menyeluruh kepada bakal jemaah melalui pelbagai program, bermula dari pramusim hingga pascamusim haji.

Tambah beliau lagi, TH akan memperkukuh bimbingan asas fardu ain, termasuk aspek akidah dan tasawur Islam.

“Dengan usaha ini, maqasid manasik haji diharapkan dapat melahirkan jemaah yang beriman dan bertakwa, seterusnya melahirkan warganegara yang soleh,” katanya.

Sementara itu, persidangan yang bertemakan “Bimbingan Haji dalam Era Kecerdasan Buatan” ini serentak dengan penganjuran Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan (MHPK) ke-42 selama tiga hari, bermula dari 7 hingga 9 Oktober.

Menurut TH menerusi kenyataannya pada Rabu, MHPK melibatkan barisan pengurusan TH, petugas operasi haji, Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air, Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji, wakil Pengelola Jemaah Haji serta ahli akademik seperti tahun sebelumnya untuk menyelaraskan kefahaman hukum berkaitan ibadah haji.

Jelas pihak TH, MHPK ke-42 dengan tema “Fiqh Haji Kontemporari dan Kemabruran” memberikan tumpuan kepada isu semasa berkaitan dengan ibadah haji, merangkumi permasalahan dan rujukan kes daripada pertanyaan jemaah haji, khususnya semasa musim haji tahun lalu.

“Perbahasan hukum berkaitan dengan tawaf wadak dalam konteks kontemporari, analisis permasalahan kesihatan jemaah wanita menurut empat mazhab dan cadangan penyelesaian, serta penentuan kriteria penyakit yang tiada harapan sembuh bagi tujuan badal haji menurut perspektif fiqh perubatan,” ujarnya.

Bahkan, MPKH pada kali ini juga menggariskan panduan pelaksanaan solat hormat waktu ketika perjalanan dan solat Jumaat di bangunan penginapan jemaah haji.

Selain itu, TH juga memaklumkan bahawa Kursus Asas Haji bagi Musim Haji 1447H/2026 bermula pada awal Oktober ini dengan 13 siri di seluruh negara.

Modul yang disusun bukan sahaja terdiri daripada fiqh manasik, tetapi ilmu fardu ain seperti taharah, solat, fiqh wanita, kesihatan dan pengurusan haji.

Kedua-dua program tersebut merupakan anjuran oleh TH dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia dan Jabatan Wakaf Zakat dan Haji.

Majlis perasmian persidangan tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi TH, YBhg. Tan Sri Abdul Rashid Hussain; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, YBrs. Tuan Haji Mustakim Mohamad; Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee; Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah YBrs. Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil dan Mufti Negeri Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Ibadah Haji TH–JAKIM, Sahibus Samahah YBhg. Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Anhar Haji Opir.

Kredit Foto: Tabung Haji
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi