Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKeputusan Malaysia menerusi ASEAN untuk menjemput Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menimbulkan beberapa persoalan. Ada yang menyokong dan banyak juga yang membantah berikutan perkembangan isu Palestin. Perkara ini perlu diteliti secara rasional dan berhikmah dengan mengambil kira semua faktor dan wajar diberikan pertimbangan secara adil.
Walau apa-apa pun yang berlaku, pendirian Malaysia tentang Palestin sentiasa konsisten. Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan lantang telah bersuara membangkitkan isu ini menerusi pelbagai forum antarabangsa dan semasa pertemuan dengan pemimpin dunia serta meneruskan bermacam-macam-macam usaha dan bantuan sedayanya, bahkan YAB Perdana Menteri merupakan satu-satunya pemimpin dunia yang menjadi penaung misi Sumud Flotila Nusantara ke Gaza.
Bantahan Kedatangan Presiden Trump
Kehadiran Presiden Trump ke Malaysia menimbulkan ketidakpuasan hati banyak pihak. Ada yang mencadangkan agar kerajaan membatalkan jemputan kepada Presiden Trump bagi menunjukkan ketegasan moral Malaysia untuk membantah jenayah kemanusiaan yang dilakukan oleh Israel. Amerika Syarikat dilihat terus meredai kezaliman ini dengan membekalkan bantuan kewangan, senjata dan ketenteraan kepada Israel serta melindungi kepentingan Israel dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sememangnya rakyat Malaysia mempunyai hak untuk menyuarakan ketidakpuasan hati dan membantah kedatangan Presiden Trump. Banyak yang berpandangan bahawa Amerika Syarikat tidak berbuat apa-apa, bahkan dilihat melindungi jenayah antarabangsa yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin. Tindakan Amerika Syarikat yang berterusan menggunakan kuasa veto dalam Majlis Keselamatan PBB bagi melindungi kepentingan Israel juga menambahkan lagi sentimen untuk menyekat kedatangan Presiden Trump ke Kuala Lumpur.
Kedatangan sebagai Tetamu Negara dan ASEAN
Hubungan antarabangsa memerlukan pertimbangan dan pendekatan yang bijak dan diplomatik. Pengesahan kehadiran Presiden Donald Trump ke Malaysia bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN dilihat sebagai suatu pengiktirafan terhadap Malaysia dalam diplomasi antarabangsa. Keputusan Presiden Trump dan juga pemimpin besar dunia yang lain untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN merupakan suatu kejayaan besar bagi Malaysia selaku Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47. Presiden Trump pada kali ini bukan hanya datang sebagai tetamu negara, bahkan juga ASEAN.
Lebih utama, Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 ini bukannya hendak membincangkan isu Palestin, sebaliknya menjurus mengenai isu ASEAN secara khusus seperti kepentingan ekonomi, teknologi, Laut China Selatan, perdagangan dan keselamatan serantau. Sebagai felo Fulbright US–ASEAN, penulis begitu memahami betapa pentingnya hubungan Amerika Syarikat–ASEAN ini diberikan perhatian kerana hubungan ini sangat strategik. Pada masa yang sama, Sidang Kemuncak ASEAN juga secara tidak langsung boleh membuka ruang kepada Malaysia dan ASEAN untuk menyuarakan isu Palestin.
Kedatangan pemimpin dunia seperti Presiden Trump dan sebelum ini, Presiden Xi Jinping ke Kuala Lumpur memberikan isyarat yang sangat baik apabila Malaysia dilihat sebagai negara yang stabil, selamat dan berpengaruh dalam geopolitik semasa. Hal yang demikian membina persepsi positif terhadap daya saing dan daya tarikan negara pada mata pelabur antarabangsa dan masyarakat dunia.
Mahu tidak mahu, kita mesti mengakui bahawa Amerika Syarikat masih antara pasaran eksport terbesar bagi Malaysia dan juga ASEAN. Amerika Syarikat merupakan rakan perdagangan yang penting dan pelabur utama kepada Malaysia dan ASEAN yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi. Pentas diplomatik menerusi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 ini dijangka mampu mengukuhkan kuasa lembut dan imej Malaysia yang berpengaruh di pentas antarabangsa.
Siyasah Dauliyah dan Maqasid al-Amn
Secara asasnya, al-Quran menekankan prinsip keadilan dalam setiap urusan termasuklah dalam aspek hubungan antarabangsa. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Ma’idah ayat 8 yang bermaksud,
Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu untuk tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa juga) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa-apa yang kamu lakukan.
Ayat ini menegaskan bahawa keadilan mesti ditegakkan walaupun terdapat konflik atau perbezaan pendirian. Bukan itu sahaja, Allah SWT memperingatkan kita untuk berlaku adil hatta kepada musuh atau orang yang tidak kita sukai. Keadilan tersebut bersifat sejagat dan mesti dilaksanakan kepada sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa, warna kulit, kaum dan agama. Hal ini juga termasuk dalam situasi kedatangan Presiden Trump ke Malaysia.
Dalam hal ini, amat penting untuk memahami dan meneliti siyasah dauliyah atau hubungan antarabangsa. Siyasah dauliyah mencakupi strategi, tindakan, dasar, polisi dan lain-lain oleh sesebuah negara dalam hubungannya dengan negara luar sama ada pada peringkat serantau mahupun global. Siyasah dauliyah ini juga menekankan aspek perjanjian antarabangsa sebagai asas kepada hubungan antarabangsa, termasuklah peranan dalam organisasi peringkat serantau dan global seperti ASEAN, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan PBB.
Berbeza daripada Israel yang tidak diiktiraf oleh Malaysia dan tidak mempunyai hubungan diplomatik, Amerika Syarikat mempunyai hubungan yang baik dengan Malaysia, malah merupakan antara rakan dagang utama dan terbesar. Dalam konteks hubungan antarabangsa, Malaysia menerima kedatangan Presiden Trump bukan kerana bersetuju atau tunduk kepadanya, tetapi membuka ruang dan peluang berunding secara bersemuka tentang banyak perkara.
Hubungan diplomatik ini bukan sahaja melibatkan ekonomi, keselamatan dan perdagangan, bahkan memberikan satu platform yang signfikan untuk menyuarakan pendirian kita bagi usaha menghentikan genosid di Palestin dan mempertimbang semula sokongan Amerika Syarikat terhadap Israel dalam isu ini. Hal ini juga selari dengan prinsip dakwah yang menuntut kita untuk berusaha sedayanya dengan penuh hikmah. Perkara ini ditegaskan menerusi firman Allah SWT dalam Surah al-Nahl ayat 125 yang bermaksud, “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik … .”
Selain itu, maqasid al-amn atau maqasid keamanan juga sangat penting untuk diberikan perhatian. Syeikh Ahmad al-Raisuni dalam Maqsad al-Salam fi Syariat al-Islam menyatakan bahawa antara objektif terpenting Islam termasuklah memadamkan api peperangan dan permusuhan serta menyebarkan keamanan sama ada pada peringkat individu, masyarakat mahupun negara.
Dalam perkara ini, Malaysia dan ASEAN berpeluang memainkan peranan sebagai pemudah cara atau pemain penting yang membawa suara masyarakat antarabangsa kepada Presiden Trump dan pemimpin dunia lain bagi menghentikan peperangan dan genosid serta mewujudkan keamanan.
Harus diingat, menerima kunjungan Presiden Trump bukan bermaksud merestui dasar luar Amerika Syarikat atau menyokong jenayah yang dilakukan oleh Israel, tetapi memanfaatkan platform diplomatik untuk kebaikan ASEAN dan Malaysia sama ada dari sudut ekonomi, perdagangan, pendidikan mahupun keselamatan, termasuklah usaha keamanan global.
Antara Tindakan Menyekat dengan Menerima Kedatangan Presiden Trump
Amat penting untuk diteliti keberangkalian atau simulasi yang akan berlaku dalam dua situasi, sama ada menerima ataupun menyekat kedatangan Presiden Trump ke Malaysia. Pertimbangan yang menyeluruh dengan mengambil kira semua faktor, kesan, implikasi dan menyeimbangkan antara maslahah dengan mafsadah merupakan sesuatu yang perlu dilakukan dengan penuh hikmah. Kedatangan Presiden Trump ini melibatkan hubungan antarabangsa serta boleh menjadi penanda aras terbaik kepada peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN yang efektif.
Situasi pertama merujuk sekiranya Malaysia menyekat kehadiran Presiden Trump kerana bertegas dengan pendirian menentang kekejaman Israel. Dalam konteks ini, Malaysia dan ASEAN tidak akan memperoleh apa-apa, sebaliknya terlepas peluang untuk memperkukuh ekonomi, perdagangan dan keselamatan. Kita juga akan mensia-siakan peluang di depan mata untuk bersemuka dengan Presiden Trump bagi menyuarakan pendirian terhadap isu Palestin.
ASEAN juga akan mempertikaikan tindakan Malaysia kerana membuat keputusan yang merugikan negara ASEAN yang lain dan hal ini pastinya akan mencalarkan reputasi Malaysia yang sekarang ini dihormati di serata dunia. Lebih buruk lagi ialah hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat yang baik boleh menjadi keruh dan situasi ini akan memberikan impak negatif terhadap Malaysia.
Situasi kedua merujuk tindakan Malaysia menerima kedatangan Presiden Trump dalam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 bersama-sama dengan pemimpin dunia yang lain. Sidang kemuncak ini akan menjadi antara sidang kemuncak yang paling berprestij dalam sejarah ASEAN kerana melibatkan pemimpin dan kuasa besar dunia. Hal ini sekali gus mengiktiraf peranan ASEAN yang diterajui oleh Malaysia dalam kancah geopolitik dunia.
ASEAN dan Malaysia berpeluang untuk berbincang secara bersemuka tentang agenda pengukuhan sektor ekonomi, perdagangan, pendidikan, keselamatan dan lain-lain. Di samping itu, Malaysia dan negara lain boleh menyuarakan pendirian tegas terhadap isu Palestin.
Kesan dan impak kedatangan Presiden Trump dalam sidang kemuncak ini dijangkakan positif. Kerjasama ekonomi, perdagangan, keselamatan dan lain-lain dapat diperkukuh, hubungan ASEAN–Amerika Syarikat dan Malaysia–Amerika Syarikat terus baik, bahkan pendirian dan ketegasan isu Palestin dapat disuarakan. Reputasi Malaysia terus diiktiraf oleh ASEAN dan dunia, keyakinan pelabur semakin meningkat, dan Malaysia akan terus mengorak langkah melakukan perubahan seiring dengan agenda Malaysia MADANI.
Kedatangan Presiden Trump menimbulkan beberapa persoalan dan maklum balas yang pelbagai oleh rakyat Malaysia. Ada yang membantah dan ada yang menyokong, bahkan banyak juga yang tidak mengambil tahu isu ini. Berdasarkan pemerhatian dan semua faktor tersebut, penulis tidak bersetuju untuk menyekat kedatangan Presiden Trump.
Penulis berpandangan bahawa kedatangan Presiden Trump membuka ruang yang lebih besar dan signifikan kepada ASEAN dan Malaysia, di samping memberikan peluang secara bersemuka dan strategik untuk menyuarakan pendirian terhadap isu Palestin. Pandangan yang sama dikongsikan oleh rata-rata aktivis kemanusiaan memperjuangkan Palesti,n seperti peserta misi Global Sumud Flotila ke Gaza.
Penulis ingin menekankan juga bahawa pendirian sama ada menyekat ataupun menerima kedatangan Presiden Trump ini merupakan perkara ijtihadi, iaitu perkara yang dibenarkan khilaf atau perbezaan pandangan. Bersetuju dengan kehadiran Presiden Trump tidak menjadikan kita pro-Israel atau pro-Amerika. Begitu juga, menentang kedatangan Presiden Trump juga tidak bermakna seseorang itu ekstrem atau berfikiran terkebelakang. Masing-masing mempunyai pandangan berdasarkan hujah dan rasional yang sama-sama bersemangat dan bersolidariti dengan perjuangan Palestin.
Kesimpulannya, menerima kunjungan Presiden Trump dan pimpinan dunia yang lain dalam Sidang Kemuncak Ke-47 ASEAN membuka peluang untuk Malaysia dan negara ASEAN memperkukuh hubungan antarabangsa, menarik pelaburan, menguatkan ekonomi, perdagangan dan keselamatan, serta memberikan ruang kepada Malaysia dan ASEAN menyatakan pendirian tegas terhadap Palestin.
Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN memainkan peranan tersendiri untuk menerajui rantau ini agar lebih terkehadapan dan berpengaruh di pentas dunia, termasuklah menjuarai usaha keamanan dan kestabilan. Walau apa-apa pun, Malaysia terus konsisten dengan perjuangan membela Palestin sehingga ke akhirnya.
Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli Hasan merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).