Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSemenyih – Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dengan kerjasama Highfield Healthcare Sdn. Bhd. melakar sejarah dengan memulakan pembangunan Hospital Pakar Patuh Syariah bercirikan wakaf pertama di Malaysia menerusi majlis pecah tanah, hari ini.
Menurut YWM, majlis ini menandakan permulaan inisiatif nasional bagi memperkaskana sektor kesihatan bercirikan wakaf, sejajar dengan gagasan Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan, nilai ihsan dan keberdayaan rakyat melalui pembangunan yang seimbang antara fizikal dengan rohani.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, hospital ini akan dilengkapi kemudahan mesra ibadah seperti ruang solat, panduan ibadah pesakit, kemudahan tayamum, sokongan kerohanian serta al-Quran digital di setiap wad.
“Hospital ini bakal menawarkan pengalaman rawatan yang bukan sahaja berfokus kepada kesihatan fizikal, bahkan juga kesejahteraan rohani, sekali gus mengangkat maqasid syariah dalam aspek penjagaan nyawa (hifz al-nafs),” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Tambah beliau, projek ini turut selari dengan aspirasi Pelan Induk Wakaf Nasional (PIWN) yang menyasarkan agar wakaf menyumbang sebanyak 10 peratus kepada sektor kewangan sosial Islam menjelang tahun 2030.
Katanya lagi, YWM akan memperluas model hospital wakaf ini ke seluruh negara melibatkan pembangunan rangkaian hospital pakar, pusat dialisis serta pusat rehabilitasi berasaskan wakaf pada masa hadapan.
“Langkah ini dilihat mampu memperkukuh ekosistem wakaf negara selain meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti yang akhirnya menyumbang kepada kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Majlis pecah tanah berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof bersama-sama YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im selaku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YWM.
YWM menyifatkan projek ini sebagai simbol kesungguhan kerajaan MADANI untuk merealisasikan negara berdaya maju dan inklusif berteraskan nilai kemanusiaan yang menjamin kesejahteraan rakyat.