Diterbitkan pada 28 September 2025, 16:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Program Pidato Celik MADANI 2025 peringkat Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur dan Putrajaya) anjuran Bahagian Kepimpinan Muda (KEMUDA) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) bukan sekadar pertandingan pidato, bahkan merupakan satu platform berkesan dalam membina keyakinan diri, kefahaman sivik dan keperibadian yang berteraskan nilai MADANI.

Program yang mendapat kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya program ini telah berlangsung di Ibu Pejabat YADIM, Kompleks Islam Putrajaya, semalam.

Menurut Pengarah YADIM Kuala Lumpur dan Putrajaya, YBrs. Encik Zairudin Hashim program ini dapat meningkatkan keyakinan diri dan kemahiran berkomunikasi generasi muda, malah mereka belajar menyusun hujah dengan jelas serta berani berucap di hadapan khalayak.

Beliau juga percaya bahawa pertandingan ini mampu menjadi medium mendidik murid dengan nilai murni, tanggungjawab serta semangat cinta akan negara.

Para hadirin yang hadir pada Program Pidato Celik MADANI 2025 peringkat Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur dan Putrajaya) anjuran Bahagian Kepimpinan Muda (KEMUDA)  Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Kompleks Islam Putrajaya.

“Program ini merupakan satu daripada pendekatan YADIM melestarikan gerakan dakwah menerusi jalur pendidikan dan pada masa yang sama, memperkasakan Aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan aspek kreatif dalam diri para peserta.

“Pihak YADIM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada semua peserta, guru pembimbing serta semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program ini,” ujarnya.

Pidato Celik MADANI 2025 telah menerima sambutan amat menggalakkan dengan penyertaan sebanyak 47 orang peserta dari seluruh Wilayah Persekutuan, melibatkan pelajar dalam tiga kategori, iaitu sekolah rendah, menengah rendah dan menengah atas.

Pidato yang disampaikan oleh sembilan orang peserta peringkat akhir menjurus kepada penghayatan nilai-nilai teras Malaysia MADANI memperlihatkan kefahaman dan komitmen peserta terhadap jati diri kebangsaan dan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

Bagi kategori sekolah rendah tahun 4 hingga tahun 6 dimenangi oleh Nur Amna Qaisara Muhammad Hafifi dari Sekolah Kebangsaan Sentul 2, Kuala Lumpur. Kategori sekolah menengah rendah tingkatan 1 hingga tingkatan 3 pula dimenangi oleh Zara Adelia Mohamad Nizan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur dan kategori sekolah menengah atas tingkatan 4 hingga tingkatan 6 berjaya dimenangi oleh Muhammad Khalish Haqimi Abdullah dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 5 Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Juara bagi setiap kategori akan meneruskan cabaran ke peringkat kebangsaan. Majlis penutup telah disempurnakan oleh Pengarah KEMUDA YADIM, YBrs. Encik Shahrizal Mat.

Hadir sama ke pentas akhir ialah Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, YBrs Encik Mohd Hakimi Ali dan Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur YBrs. Encik Misron Ali.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi