Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Lembaga Tabung Haji (TH) mengingatkan semua bakal jemaah haji untuk segera mengemas kini maklumat peribadi bagi memastikan proses komunikasi dan tawaran haji musim 1447H/2026M berjalan lancar.
TH menjelaskan, semakan giliran menunaikan haji boleh dilakukan melalui platform THiJARI atau di pejabat cawangan TH di seluruh negara.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Haji Mustakim Mohamad berkata, “Peringatan berterusan ini adalah sebahagian daripada komitmen TH untuk memastikan semua bakal jemaah haji dapat menerima maklumat terkini yang tepat, termasuklah jadual taklimat persediaan, kursus haji serta segala panduan perjalanan ke tanah suci.”
Beliau menegaskan, “TH amat menekankan kepentingan maklumat yang tepat dan terkini agar urusan haji dapat diatur dengan sebaik-baiknya.”
“Kami berharap agar semua bakal haji dapat memberikan kerjasama untuk mengemas kini profil masing-masing dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan, baru-baru ini.
Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan semua bakal haji agar membuat persediaan awal dari aspek kesihatan, kewangan dan ilmu pengetahuan berkaitan dengan ibadah haji bagi memastikan perjalanan ibadah haji yang mabrur berjalan lancar.
Menurut TH, sebanyak 521 orang bakal haji dalam senarai giliran 1447H/2026M tidak dapat dihubungi dan situasi ini boleh menjejaskan kelancaran penyampaian maklumat penting berkaitan dengan persediaan haji.
Sehubungan dengan itu, TH menggesa semua pendeposit, khususnya bakal jemaah haji dalam senarai giliran, untuk hadir ke pejabat cawangan TH terdekat atau menghubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) menerusi talian 03-6207 1919 bagi mengemas kini nombor telefon, alamat surat-menyurat dan e-mel.