Syaza Wardina .
Diterbitkan pada 11 September 2025, 06:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Beseri – Ma’had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI) secara rasmi dinaiktaraf sebagai Sekolah Agama Seliaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan sokongan peruntukan khas RM20 juta bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Pelancaran itu disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang DiPertua MAIPs susulan keputusan Persidangan MAIPs Bilangan Keempat Tahun 2025.

Sebanyak 114 orang pelajar yang terdiri daripada 64 pelajar lelaki dan 50 pelajar perempuan tingkatan satu hingga tiga menghadiri program bertemakan “Perlis Hebat! Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Segala Tindakan” tersebut.

Berangkat mengiringi baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor berkata, “Naik taraf MATRI sebagai sekolah agama seliaan MAIPs selaras dengan dasar Majlis ini sebagai peneraju hal ehwal Islam di Perlis.”

Beliau menambah, “Kita mahu memastikan institusi pendidikan Islam ini bukan sahaja berdaya saing dalam akademik, malah melahirkan insan rabbani yang mampu menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.”

Dalam titah perasmian, Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan penghargaan kepada MAIPs dan pengurusan MATRI atas usaha bersama memperkukuh pendidikan Islam di negeri ini.

Baginda menegaskan, “Pendidikan berasaskan tarbiah yang syumul amat penting untuk membina generasi berilmu, berakhlak mulia dan berdaya tahan menghadapi cabaran semasa.”

Titah Baginda lagi, “Dengan limpah rahmat Allah SWT, semoga MATRI terus berkembang sebagai pusat tarbiah dan pendidikan yang unggul, selaras dengan hasrat negeri untuk menjadi peneraju dalam melahirkan insan yang cemerlang dunia dan akhirat.”

Pada majlis itu, Tuanku Raja Muda Perlis turut berkenan merasmikan Bilik S.O.L.E.H. yang diwujudkan sebagai ruang aktiviti pelajar merangkumi aspek kerohanian, kepimpinan, inovasi, sukan dan kebudayaan.

Sejak ditubuhkan pada tahun 1987, MATRI telah melahirkan ribuan pelajar yang kini berkhidmat dalam pelbagai bidang, dengan rekod 90 peratus lepasan SPM 2024 berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi