Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangChengkau – Sambutan Maulidur Rasul 1447H di Kampung Nerasau berlangsung meriah dengan kehadiran Menteri Luar Negeri, Yang Berhormat (YB) Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Hasan yang juga merupakan Ahli Parlimen Rembau sebagai tetamu kehormat.
Mohamad ketika menyampaikan ucapannya berkata, penganjuran sambutan Maulidur Rasul berkenaan menjadi platform penting untuk umat Islam sentiasa mengingati jasa dan perjuangan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Selain itu, lebih 300 orang penduduk sekitar daerah Rembau turut serta bagi mengimarahkan sambutan tersebut yang diadakan di Masjid Kariah Nerasau pada Sabtu lalu.
Sambutan penuh bermakna itu sebagai tanda kecintaan dan penghayatan terhadap risalah Nabi Muhammad SAW, di samping memperingati kelahiran Baginda.
Pengisian utama sambutan ialah ceramah agama yang disampaikan oleh Ustaz Datuk Mohammad Kazim Elias bertajuk “Rasulullah Penyelamat Agung di Detik Kesengsaraan”.
Ceramah yang sarat dengan pengajaran dan peringatan menekankan bahawa ketokohan Rasulullah SAW berperanan besar dalam usaha membimbing umat manusia ke jalan kebenaran.
“Syafaat yang paling besar pada hari kiamat ialah syafaat Rasulullah SAW yang akan mencukupkan amalan dan pahala kita kelak,” jelasnya.
Beliau juga mengingatkan umat Islam agar meneladani kesabaran Rasulullah SAW tatkala menghadapi cabaran ketika berdakwah.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Kariah Nerasau, YBrs. Tuan Haji Mat Rodzi menegaskan bahawa program tersebut merupakan uslub murni pihak masjid untuk mendekatkan masyarakat, terutama golongan muda kepada kegiatan kerohanian seperti solat berjemaah secara tidak langsung.
“Usaha ini sekali gus dapat mengimarahkan masjid serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk setempat.
“Kita juga hendaklah mendahulukan cinta kepada Allah SWT, cinta kepada Nabi Muhammad SAW dan cintakan jihad lebih daripada cinta kepada dunia yang fana,” ujarnya.
Sambutan Maulidur Rasul itu bermula dengan perarakan yang disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat pada pukul 5.00 petang sebelum disusuli dengan ceramah kesedaran menenai penipuan dalam talian daripada pegawai polis daerah Rembau.
Antara pengisian lain yang turut menyerikan program tersebut termasuklah bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh qari Negeri Sembilan, Shahrul Naem Abdul Mukti, yang kemudiannya memimpin bacaan selawat bersama-sama dengan para hadirin.
