Diterbitkan pada 7 September 2025, 17:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Peluasan skop pensijilan halal dalam aspek pentadbiran negara tidak berbangkit kerana bidang tersebut telah pun ditangani melalui mekanisme berautoriti sedia ada.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee dalam kenyataannya pada Sabtu berkata, dalam konteks tadbir urus negara, tanggungjawab membanteras rasuah, memperkukuh integriti dan memastikan keadilan terlaksana merupakan mandat semua jabatan dan kementerian, selain agensi penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia dan institusi kehakiman.

Menurut beliau, komitmen berkenaan sejajar dengan arahan Perdana Menteri kepada semua jabatan untuk menangani rasuah, memperkukuh integriti nasional serta meningkatkan tatakelola negara yang telus dan beramanah.

Oleh itu, kata beliau, JAKIM terus fokus memastikan pensijilan halal kekal unggul, di samping memperkukuh peranan dakwah dan pendidikan dalam penegasan larangan syariah terhadap rasuah, salah guna kuasa dan pengkhianatan amanah.

Selain itu, pihaknya menegaskan bahawa penting untuk membezakan antara konsep halal dalam Islam yang sememangnya bersifat menyeluruh serta meliputi keadilan sosial, integriti dan tadbir urus yang baik dengan proses pensijilan halal.

“Proses pensijilan halal merupakan mekanisme rasmi negara bagi menjamin keyakinan pengguna Islam serta mengawal selia industri halal agar sentiasa mematuhi standard, piawaian dan tuntutan syariah yang merentasi sektor makanan, farmaseutikal, kosmetik, logistik dan sembelihan halal,” katanya.

Tambah beliau, tanpa pensijilan halal yang sah, masyarakat Islam berisiko berhadapan dengan kekeliruan, manipulasi pasaran dan eksploitasi pihak tidak bertanggungjawab.

Ujar beliau, industri yang diberikan pensijilan halal menandakan mereka telah memenuhi segala kriteria, keperluan dan piawaian selari dengan standard halal serta tuntutan syariah yang menjadi tunjang kukuh kepada pensijilan halal Malaysia.

“Dalam masa yang sama, Islam melalui al-Quran dan sunah secara tegas mengharamkan rasuah, salah guna kuasa dan pengkhianatan amanah,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau memaklumkan bahawa JAKIM menyampaikan mesej moral dan syariah ini menerusi khutbah Jumaat, program pembangunan ummah, kempen kesedaran dan pelbagai saluran juga medium dakwah sama ada melalui media baharu mahu pun konvensional secara berterusan.

“Kerajaan melalui JAKIM akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan semua pihak, bukan sahaja bagi mengekalkan pensijilan halal Malaysia sebagai penanda aras antarabangsa, tetapi juga dalam usaha memperkasakan pendidikan Islam, pembangunan ummah, dakwah serta institusi keluarga.

“Segala usaha tersebut menzahirkan komitmen berterusan terhadap kesucian, kebersihan, keadilan dan integriti, selaras dengan tuntutan syariah dan aspirasi negara,” ujarnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi