Diterbitkan pada 5 September 2025, 19:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Seri Kembangan – Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang pagi tadi membawa makna besar kepada umat Islam agar menghayati risalah dan peribadi mulia junjungan Rasulullah SAW.

Sambutan yang bertemakan “Membangun Ummah MADANI” itu diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Pada masa yang sama, Sultan Ibrahim berkenan menyempurnakan upacara pengurniaan anugerah tokoh Maulidur Rasul kepada tujuh individu dalam sambutan berkenaan.

Sambutan tersebut menyaksikan penerima Anugerah Tokoh Perdana Maulidur Rasul  1447H disandang oleh Pengerusi Lembaga Tabung Haji, YBhg. Tan Sri Abdul Rashid Hussain.

Pengerusi Lembaga Tabung Haji, YBhg. Tan Sri Abdul Rashid Hussain (baju biru) merupakan penerima Anugerah Tokoh Perdana bagi Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1447H.

Selain itu, Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan dan Penasihat Kesatuan Pondok Kelantan, Tuan Guru Syeikh Haji Wazir Awang pula diangkat sebagai penerima anugerah bagi kategori Tokoh Agamawan/Kepimpinan Dakwah.

Turut menerima pengiktirafan dalam sambutan tersebut ialah pempengaruh media sosial terkenal, Khairul Amin Kamarulzaman (Khairul Aming) dalam kategori Tokoh Usahawan/Teknorat Berjaya.

Bagi kategori Tokoh Pengkarya/Inovator Kreatif, Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation, Muhammad Usamah Zaid Yasin merupakan penerima anugerah tersebut manakala pelakon, Ardini Angeline Tan pula dinobatkan sebagai penerima anugerah bagi kategori Saudara Baharu Cemerlang (Mualaf).

Antara penerima lain termasuklah Penolong Pesuruhjaya Bomba, Ismail Abdul Ghani selaku penerima anugerah bagi kategori Tokoh Wira Negara, serta Pegawai Khas (Hal Ehwal Islam) Timbalan Menteri Hal Ehwal Islam Sarawak, Dayang Nur Maisarah Abang Abdul Razak dalam kategori Tokoh Belia Harapan.

Setiap penerima anugerah tersebut menerima hadiah wang tunai sumbangan Kerajaan Malaysia, trofi dan sijil penghargaan sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan mereka dalam bidang kepakaran masing-masing serta sumbangan bermakna ke arah pembangunan ummah dan negara.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Haji Mokhtar dalam ucapan menjunjung kasih berkata, tema “Membangun Ummah MADANI” yang diangkat pada tahun ini mencerminkan kesungguhan kerajaan membangunkan kesejahteraan negara.

Menurut beliau, kerjasama erat dengan pihak berkuasa agama Islam negeri akan terus diperkasakan agar program penghayatan Islam dapat dilaksanakan dengan berkesan, khususnya dalam usaha menangani isu sosial dan kemasyarakatan.

Beliau turut menyeru masyarakat agar menghentikan perselisihan sesama sendiri, tidak meniup sentimen kebencian atas nama agama, menjauhi budaya fitnah dan perpecahan dalam media sosial yang hanya membawa kerugian.

“Negara kita baru sahaja menyambut Hari Kebangsaan kali ke-68, dengan penuh tekad keazaman, marilah bersama-sama memperkukuh penguasaan ilmu dan teknologi, merapatkan saf perpaduan, menjadi pendamai yang menyuburkan keharmonian sekali gus membangunkan gagasan Malaysia MADANI,” ujarnya.

YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Haji Mokhtar ketika menyampaikan ucapan menjunjung kasih.

Terdahulu, Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan tahun ini menampilkan perarakan 119 kontinjen dengan pelibatan sebanyak 6,102 orang peserta daripada pelbagai kementerian, badan berkanun dan agensi swasta.

Perarakan kontinjen Kementerian Pendidikan Malaysia dalam Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H.

Turut hadir sama dalam sambutan itu ialah Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim; Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB Tan Sri Dato’ Johari Abdul; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan; barisan kepimpinan tertinggi negara dan pimpinan utama penjawat awam.

Kredit Foto: Jabatan Penerangan Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi