Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melancarkan sistem baharunya, MyHALALINGREDIENTS yang berkuat kuasa mulai hari ini.
Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, inisiatif pendigitalan ini bertujuan untuk meningkatkan kecekapan dan memudahkan proses pensijilan halal Malaysia bagi semua skim pensijilan halal dan kategori syarikat.
“MyHALALINGREDIENTS merupakan sistem pengumpulan data yang dibangunkan untuk merekodkan dan menilai semua bahan mentah yang digunakan oleh industri,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Tambah beliau, sistem ini akan diintegrasikan dengan platform sedia ada, MYeHALAL bagi mempermudah dan mempercepat proses pensijilan.
Jelas beliau, dengan adanya sistem ini, keperluan untuk mengemukakan dokumen fizikal secara berulang-ulang dapat dikurangkan.
“Hal ini secara langsung mengurangkan tempoh semakan permohonan halal, sekali gus menjadikan proses pensijilan halal lebih pantas, telus dan mesra pengguna,” ujar Dato’ Dr. Sirajuddin.
Menurut beliau, pelaksanaan sistem baharu ini membawa beberapa objektif dan faedah utama yang akan memberikan impak positif terhadap semua pihak berkepentingan, iaitu pendaftaran yang lebih mudah, semakan yang cepat dan cekap, pengurusan yang sistematik, serta pengurangan tempoh proses.
“Untuk memastikan peralihan lancar, JAKIM menjemput semua syarikat yang terlibat dalam pensijilan halal untuk mendaftar dan menyertai taklimat secara dalam talian pada 18 Ogos 2025,” maklum beliau.
Katanya, taklimat tersebut akan memperincikan pelaksanaan MyHALALINGREDIENTS kepada semua pihak industri dan skim pensijilan halal Malaysia.
Sehubungan dengan itu, JAKIM menyeru semua industri yang terlibat dalam pensijilan halal untuk memanfaatkan sepenuhnya sistem ini.
“Dengan kerjasama padu daripada semua pihak, JAKIM yakin inisiatif ini bukan sahaja memperkasakan pensijilan halal Malaysia, bahkan mengukuhkan kedudukan negara sebagai peneraju global dalam industri halal,” ujarnya lagi.
Maklumat lanjut dan pendaftaran boleh dirujuk melalui pautan MyHALALINGREDIENTS.