Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 13 Ogos 2025, 10:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Nilai – Program Halaqah Mubaligh ASEAN 2.0 merupakan inisiatif dakwah berskala serantau yang dirangka khusus bagi memperkukuh jaringan ukhuwah dalam kalangan penggerak dakwah dari seluruh rantau ASEAN dan peringkat antarabangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar berkata, program berkenaan amat penting sebagai platform bagi penggerak dakwah serantau saling mengenali dan memperkasakan kerjasama antara satu sama lain.

Menurut beliau, para penggerak dakwah perlu memanfaatkan pertemuan tersebut dengan perbincangan peranan mubaligh serta membuat persediaan yang rapi untuk berdakwah.

“Kepentingan dakwah ini memerlukan kita benar-benar membuat perancangan yang teratur,” katanya ketika merasmikan program tersebut di Hotel Hype Motorsports pada Selasa.

Oleh itu, ujar beliau, kepelbagaian latar belakang peserta sepatutnya membuka ruang perbincangan sekali gus mencari jalan terbaik mengenai kaedah, teknik dan uslub dalam penyampaian dakwah.

Beliau memaklumkan bahawa program tersebut juga diadakan adalah untuk mengetengahkan buah fikiran secara kolektif, seterusnya mencari resolusi terbaik demi manfaat ummah.

Jelas beliau, pelancaran Pertubuhan Ukhwah Da’i Antarabangsa (MUDA) oleh Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim sejak enam tahun lalu, pelbagai perkembangan telah berlaku sepanjang tempoh tersebut sehingga kini dan wajar untuk dilakukan penambahbaikan.

“Bagi pihak Menteri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), kita akan bersama-sama dan melihat pendekatan yang boleh diambil bagi manfaatkan resolusi yang bakal dicapai hasil perbincangan yang dilakukan.

“Perkara yang utama ialah kehadiran mubaligh ke halaqah ini dengan niat yang tulus demi memastikan umat Islam di negara masing-masing memiliki akhlak yang baik dan dihormati,” katanya.

Sementara itu, program Halaqah Mubaligh ASEAN 2.0 yang berlangsung selama tiga hari bermula 12 hingga 14 Ogos merupakan usaha strategik anjuran MUDA dengan kerjasama JAKIM dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Pelaksanaan program tersebut dilihat sebagai wadah perbincangan konstruktif berkenaan dengan isu pembangunan ekonomi umat Islam di rantau ASEAN serta merintis jaringan kerjasama strategik antara Gerakan Mubaligh Islam dengan negara serantau melalui inisiatif “Muslim Networking Inter-ASEAN State.”

Penyertaan seramai 150 penggerak dakwah dari Malaysia dan negara ASEAN bakal memberikan impak yang signifikan terhadap kerjasama dan hubungan antarabangsa, khususnya dalam bidang pendidikan dan dakwah.

Jalinan yang terbina bukan sahaja dalam program ini akan memudah cara perkongsian ilmu dan amalan terbaik, di samping memperkasakan metodologi dakwah serta pendidikan Islam di seluruh rantau bagi menghadapi cabaran ummah secara kolektif dan berstrategi.

Kredit Foto: Facebook - Dato' Setia Dr. Naim
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi