Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 12 Ogos 2025, 15:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bayaran guru takmir, guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan imam tidak dikira sebagai gaji tetap, sebaliknya merupakan bantuan kewangan berbentuk elaun daripada Kerajaan Persekutuan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, inisiatif tersebut bertujuan membantu meringankan beban dan menjaga kebajikan golongan berkenaan yang berkhidmat pada peringkat akar umbi.

Menurut beliau, cadangan kenaikan kadar elaun guru takmir yang melibatkan 5,000 orang kepada RM1,200 atau 12 jam bakal memerlukan anggaran peruntukan kerajaan sebanyak RM72 juta dengan kenaikan lebih 33 peratus.

Oleh itu, katanya, kerajaan tidak bercadang untuk menaikkan kadar elaun tersebut buat masa ini, sebaliknya menambah bilangan guru takmir daripada 4,000 kepada 5,000 orang.

Kata beliau, kerajaan dari semasa ke semasa sentiasa meneliti dan membuat penilaian terhadap keperluan menaikkan kadar elaun berdasarkan kemampuan semasa kewangan negara serta keutamaan dalam urusan perbelanjaan kerajaan.

“Setiap tahun kita cuba menyemak dan menyampaikan kepada kerajaan berkenaan perkara ini, namun perkara tersebut bergantung pada kemampuan fiskal kerajaan,” katanya.

Hal ini termasuklah penyediaan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Skim Perlindungan Sosial di bawah PERKESO kepada guru takmir kerana jawatan tersebut bukan berstatus tetap atau kontrak.

“Caruman KWSP sebenarnya boleh dikenakan ke atas bayaran elaun yang diterima sekiranya individu tersebut mempunyai status pekerja di bawah takrifan yang ditetapkan oleh Akta KWSP 1991.

“Mereka dibayar mengikut perkhidmatan setakat bilangan kelas yang diajar dengan jumlah maksimum RM900,” katanya.

Kata beliau, kerajaan turut mengambil langkah untuk memperkukuh sumber kewangan guru takmir, guru KAFA dan imam dalam bentuk lain melalui pemerkasaan kemahiran supaya mereka boleh menjana pendapatan alternatif.

“Kita melihat juga inisiatif negeri yang menambah pendapatan guru KAFA mengikut kemampuan seperti Wilayah Persekutuan menambah sebanyak RM1,000, Pulau Pinang RM400 dan beberapa negeri lain.

“Hal ini menunjukkan bahawa kerjasama antara Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dengan kerajaan akan dapat memperkukuh taraf hidup dan pendapatan guru takmir, guru KAFA dan imam,” ujarnya.

Untuk rekod, sebanyak 4,752 orang guru takmir berdaftar di seluruh negara dengan status lantikan sambilan.

Bayaran guru takmir ditentukan berdasarkan jumlah kelas pengajaran dengan kadar RM100 bagi setiap kelas dan jumlah tuntutan maksimum sebanyak RM900.

Selain itu, sebanyak 34,284 orang guru KAFA yang sedang berkhidmat di seluruh negara menerima elaun sebanyak RM1,100 sebulan oleh Kerajaan Persekutuan melalui peruntukan di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), manakala elaun bulanan imam pula ialah RM850 sebulan.

Dr. Zulkifli berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Baling, YB Tuan Hassan Saad dan Ahli Parlimen Kuala Pilah, YB Dato’ Haji Adnan Abu Hassan berkaitan dengan cadangan kenaikan elaun guru takmir kepada RM1,200 sebulan dalam sidang Dewan Rakyat pada Isnin.

Kredit Foto: Parlimen Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi