Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-65 Tahun 1447H/2025M yang berlangsung selama tujuh hari di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur melabuhkan tirainya malam tadi dengan menyaksikan qari dan qariah Malaysia mengharumkan nama negara dalam kategori tilawah.
Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan, berasal dari Perak dinobatkan sebagai johan bagi kategori tilawah lelaki dengan memperoleh markah sebanyak 97.01 peratus dan diikuti oleh Ahmad Azroi Hasibuan dari Indonesia di tempat kedua dan Muhammed Yahya Yildizhan dari Turkiye di tempat ketiga, masing-masing dengan markah sebanyak 95.13 peratus dan 93.88 peratus.
Johan bagi kategori tilawah wanita pula disandang oleh Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi, berasal dari Terengganu dengan markah sebanyak 95.88 peratus manakala Fatima Zahra Assafar dari Maghribi di tempat kedua (89.38 peratus) dan Nur Rahmiyatin Adhya dari Indonesia di tempat ketiga (87.59 peratus).

Sementara itu, kategori hafazan lelaki dimenangi oleh Usamah Barghouth dari Jerman dengan markah sebanyak 98.25 peratus, disusuli pemenang di tempat kedua, iaitu Mohammad Abdullah Masasati (Syria) dan tempat ketiga, iaitu Mohammad Jamil Jamil Farhat (India) yang masing-masing meraih markah sebanyak 98.01 peratus dan 97.25 peratus.
Bagi kategori hafazan wanita pula, Tasneem Omar Arian dari Syria muncul johan dengan markah sebanyak 97.5 peratus, manakala Putri Auni Khadijah Mohd Hanif (Malaysia) sebagai naib johan dan Najway Ali Zaydan Alkourbu (Libya) di tempat ketiga, masing-masing dengan markah sebanyak 96.75 peratus dan 95.51 peratus.
Pengumuman keputusan MTHQA Ke-65 tersebut disampaikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee selaku pengerusi jemaah hakim.
Johan bagi setiap kategori tilawah dan hafazan membawa pulang hadiah wang tunai RM 40,000.00 daripada Kerajaan Malaysia hadiah iringan, sijil dan cenderamata.
Acara penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
MTQHA Ke-65 anjuran JAKIM menampilkan 71 orang peserta dari 49 buah negara yang terdiri daripada 39 orang bagi acara tilawah dan 32 orang bagi acara hafazan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk MTQHA Ke-65 dalam ucapannya berkata, mukjizat keagungan al-Quran menyatukan manusia merentasi sempadan bangsa dan geografi untuk memperteguh iman, memperdalam ilmu serta merenung kebesaran Ilahi.
Beliau menyifatkan bahawa tema “Membangun Ummah Madani” yang dibawa dalam penganjurannya kali ini menzahirkan komitmen kerajaan untuk mengangkat martabat umat agar kembali mengungguli khazanah ilmu al-Quran.
Selain itu, beliau turut berharap agar penganjuran MTQHA terus menjadi wadah penyatuan umat Islam di seluruh dunia.
“Sesuatu hal yang penting bagi dunia Islam untuk bangkit dan menjadi sebuah masyarakat bertamadun, memperkukuh integritinya, menguasai ilmu pengetahuan dan teknologi, serta menerangi dunia dengan nilai Islam.
“Malaysia terus komited untuk menegakkan semangat keadilan dan keamanan di seluruh dunia, termasuk negara ASEAN selaras dengan prinsip al-Quran,” ujarnya.
Turut hadir memeriahkan majlis tersebut ialah Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB Tan Sri Dato’ Dr. Johari Abdul; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan serta Imam Masjid Nabawi, Tuan Yang Terutama Sheikh Dr. Salah Muhammad al-Budair.