Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Ucaptama Imam Masjid Nabawi, Tuan Yang Terutama (TYT) Dr. Salah Muhammad al-Budair dalam Simposium al-Quran Sedunia 2025 pada Khamis di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur mengungkapkan keagungan al-Quran yang membawa manfaat besar dalam kehidupan umat Islam.
Menurut beliau, mukjizat teragung itu menjadi pencetus dan sumber segala ilmu, dasar kepada syariat Islam, tonggak agama, tanda kerasulan, “mata air” hikmah dan cahaya yang menerangi mata zahir serta hati nurani.
“Kalimat di dalam al-Quran memiliki keindahan yang tiada tandingan kerana kemuliaan dan kedudukannya yang sangat tinggi,” katanya.
Selain itu, beliau menyatakan bahawa al-Quran ialah pelindung yang memelihara, nikmat yang kekal, dalil yang sempurna serta hujah yang muktamad.
“Barang siapa yang membaca kitab ini seolah-olah dia sedang berbicara dengan Tuhannya.
“Al-Quran mengandungi jalan yang lurus, tali Allah yang teguh, neraca yang adil dan pegangan kukuh bagi orang yang beriman kepadanya, di samping sebuah penjelasan, zikir yang penuh hikmah serta perincian yang nyata daripada sebarang kesamaran,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan al-Quran sebagai cahaya bagi mereka yang mencari petunjuk, penawar bagi penyakit hati.
Walau bagaimanapun, kebaikan al-Quran hanya dapat dirasai oleh orang beriman yang mengamalkannya, manakala bagi mereka yang berpaling daripadanya, al-Quran akan menjadi hujah ke atas mereka pada hari akhirat kelak.
“Barang siapa yang menegakkan ajaran al-Quran akan menjadi sebaik-baik pemimpin menuju ke syurga, sebaliknya sesiapa yang menolaknya akan digiring ke tempat azab yang penuh seksaan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa al-Quran merupakan wahyu Allah SWT yang mula diturunkan pada bulan Ramadan dengan penuh ketelitian, tanpa sebarang kepalsuan.
Firman-Nya sarat dengan keindahan bahasa, kefasihan dan balaghah mengandungi hukum dan ilmu yang menjadi pedoman membimbing umat manusia menuju keredhaan Ilahi.
Malah, ayatnya tersusun indah, perkataannya sempurna dan maknanya mendalam merangkumi kisah-kisah yang disampaikan dengan penuh kemuliaan, penjelasan halal dan haram serta tegahan segala bentuk perbuatan dosa.
Oleh itu, beliau menyeru agar umat Islam membaca al-Quran dengan ikhlas, jujur, penuh renungan serta mengamalkannya semata-mata kerana Allah SWT.
“Manusia dimuliakan berdasarkan perkara yang dihafal dan diketahuinya.
“Pembawa al-Quran merupakan manusia yang terbaik dalam kalangan umat dan mereka ialah ahlillah yang dibanggakan oleh-Nya,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata seorang hafiz Al-Quran sewajarnya dikenali melalui ibadat malamnya tatkala manusia lain tidur, puasanya saat manusia ketika berbuka, diamnya pada saat manusia lain banyak berkata, dan waraknya apabila manusia lain terjerumus dalam kebatilan.
“Seorang hafiz tidak sepatutnya membalas kekerasan kepada orang yang melakukan kekerasan, tidak bersikap jahil terhadap orang yang jahil, dan tidak melampaui batas kepada orang yang melampaui batas.
“Barang siapa yang menghafal al-Quran, mereka seolah-olah memikul tugas kenabian dalam dadanya meskipun tidak diwahyukan.
“Mereka hendaklah menjadi contoh teladan dalam akhlak, tutur kata dan perbuatan,” tegasnya.
Dr. Salah turut mengingatkan bahawa ilmu sebenar ialah ilmu yang bersumberkan kitab Allah dan sunah rasul-Nya serta berpegang teguh pada kedua-duanya, membersihkan hati dengan petunjuknya, mengikuti jejak Rasulullah SAW dan para sahabat serta mendampingi majlis ilmu.