Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah) dari Universiti Sultan Zainal Abidin, Daie Muda YADIM (DMY) Nurul Syuhada’ Mohd Kamil berjaya meraih Anugerah Perdana Daie Muda di Pentas Akhir Akademi Daie Muda YADIM (ADMY) yang berlangsung baru-baru ini.
Menurut Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), DMY Syuhada’ berjaya memukau juri dan hadirin dengan tajuk persembahan “Aku Penyedia Kandungan, Tular dengan Nilai dan Berhikmah dalam Alam Maya”.
DMY Syuhada’ turut meraih anugerah Anugerah Muslimah Inspirasi yang membolehkan beliau membawa pulang hadiah keseluruhan berjumlah RM15,000.
“Lebih manis, DMY Syuhada’ turut menjadi finalis wanita pertama yang memenangi Anugerah Perdana Daie Muda selepas tujuh siri Pentas Akhir ADMY berlangsung,” kata YADIM dalam hantaran Facebook.
YADIM berkata, DMY Muhammad Luqman Suhairi pula meraih Anugerah Imam Muda, manakala DMY Nursyazwina Zaidi dipilih sebagai pemenang Anugerah Daie Qudwah.
Tambahnya, pemenang bagi setiap kategori membawa pulang wang tunai RM5,000, trofi, baucar produk Kimyra, hamper dan sijil.
Kata YADIM, tiga lagi finalis, iaitu DMY Sophiah, DMY Faizikri dan DMY Aida pula meraih hadiah sagu hati bernilai RM1,000, baucar produk Kimyra, hamper dan sijil.
“Hadiah disampaikan oleh Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr. Hasan Bahrom, diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Ustaz Zamri Zainal Abidin,” maklumnya.
YADIM berkata, lebih 400 orang tetamu memenuhi Auditorium Ibnu Sina di Masjid Putra bagi mengikuti Pentas Akhir ADMY kali ini, termasuklah barisan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM, pengurusan kanan badan dakwah ini, rakan strategik, ahli keluarga pelatih dan orang ramai.