Diterbitkan pada 3 Ogos 2025, 09:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis diraikan dalam Takrim 25 Tahun Pemasyhuran sebagai Raja Muda Perlis, yang berlangsung di Mess Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jalan Raja Muda, Kangar, bersempena dengan Muzakarah Hala Tuju Hal Ehwal Agama Islam Perlis 2026–2030.

Menurut kenyataan MAIPs, majlis ini menjadi lambang penghargaan tertinggi atas dedikasi dan jasa baginda selama dua dekad setengah, yang tidak pernah luntur dalam membimbing umat, memartabatkan agama dan menyantuni rakyat Perlis.

Istiadat rasmi pelantikan DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra sebagai Raja Muda Perlis diadakan pada 12 Oktober 2000 di Balairong Seri, Istana Arau, setelah ayahanda baginda, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, dimasyhurkan sebagai Raja Perlis pada 16 April 2000.

Sejak itu, baginda menggalas amanah sebagai pewaris takhta negeri Perlis dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), dengan tanggungjawab utama untuk membantu dan menasihati Tuanku Raja Perlis dalam hal ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu Perlis.

Sepanjang 25 tahun kepimpinan, Tuanku Raja Muda memainkan peranan yang amat signifikan dalam mendepani agenda pembangunan agama, sosial dan ekonomi ummah.

Tambah MAIPs,

Baginda memacu transformasi MAIPs dengan memperkukuh pengurusan zakat dan wakaf secara bersepadu, mengangkat masjid sebagai pusat komuniti dan kesejahteraan kariah, serta membangunkan pelbagai program kebajikan dan pemberdayaan ekonomi asnaf. Di bawah kepimpinan baginda, MAIPs muncul sebagai institusi agama negeri yang progresif dan berwibawa, bukan sahaja pada peringkat nasional tetapi juga antarabangsa.

Peranan baginda turut terserlah dalam persada global melalui misi kemanusiaan, kerjasama pendidikan dan hubungan diplomasi agama.

Baru-baru ini, Tuanku Raja Muda memimpin inisiatif MAIPs dalam misi kemanusiaan di Kenya dan Rwanda, selain menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai institusi pendidikan Islam antarabangsa untuk memperkenalkan UniSIRAJ dan mempromosikan nilai Islam yang harmoni dan berperikemanusiaan. Kepimpinan baginda menjadi lambang istana yang dekat di hati rakyat, berjiwa rakyat dan berpandangan jauh dalam membangunkan negeri Perlis.

“Ungkap Kata Puji Mahkota – حملة المدحِ”, merupakan puisi tiga bahasa yang memancarkan doa, kesetiaan dan penghargaan atas perjalanan kepimpinan baginda yang menjadi simbol penghormatan yang mendalam kepada seorang Raja Muda yang berbakti tanpa mengenal jemu.

Sebagai simbol penghormatan, majlis ini turut menampilkan “Ungkap Kata Puji Mahkota – حملة المدحِ”, yang disusun oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, YBrs. Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor, dengan penyelidikan dan arkib diketuai oleh YBrs. Dr. Haji Hazman Hassan, Timbalan Yang Dipertua MAIPs, bersama-sama dengan dukungan YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin, YBhg. Profesor Madya Dr. Mohd Akram bin Datuk Dahaman @ Dahlan dan YBhg. Syed Abu Bakar bin Syed Kamal Bharin Jamalullail.

Dalam titah yang diadakan bersempena dengan muzakarah tersebut, Tuanku Raja Muda menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh hala tuju hal ehwal agama Islam Perlis bagi tempoh 2026–2030 melalui pendekatan bersepadu, berimpak dan penuh keberkatan, agar Perlis kekal sebagai negeri yang harmoni, berilmu dan sejahtera.

Majlis Takrim ini bukan sahaja mengimbau perjalanan 25 tahun kepimpinan baginda, malah menjadi manifestasi ikrar untuk meneruskan perjuangan berasaskan keberkatan, keadilan dan kesejahteraan ummah, seiring doa agar kepimpinan baginda sentiasa diberkati oleh Allah SWT.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi