Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 1 Ogos 2025, 20:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Seberang Jaya – Seminar Maqasid Syariah (SEMASYAR) Tahun 2025 Peringkat Negeri Pulau Pinang yang berlangsung di The Light Hotel pada Khamis mengangkat hala tuju agenda pembangunan agama Islam dalam konteks negeri Pulau Mutiara itu.

Perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang I, Yang Berhormat (YB) Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid yang juga merangkap Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata penganjuran seminar ini menjadi platform penting yang memperluas wacana keilmuan, membina persefahaman dan perpaduan ummah, selain menyusun langkah konkrit ke arah memperkukuh kedudukan Islam dalam konteks masyarakat yang rencam namun harmoni.

“Dalam konteks negeri Pulau Pinang secara khususnya, tekad yang kita ambil adalah bagi memenuhi maqasid syariah negeri Pulau Pinang (yang bersifat setempat), berbeza dengan negeri lain.

“Kefahaman mengenai maqasid syariah amat penting, khususnya bagi umat Islam di negeri ini supaya kuasa politik orang Islam terus berada dalam kerajaan,” katanya.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa dasar pembangunan agama yang dibawa oleh kerajaan negeri ialah pendekatan meneruskan legasi para ulama dengan sebuah agenda yang jelas, iaitu Agenda Pembangunan Agama Islam (APAI) 2030.

Di samping itu, beliau mengumumkan bahawa inisiatif menaik taraf Pusat Latihan Zakat (PULAZA) sebagai Institut Latihan Islam Pulau Pinang (ILIPP) di bawah agenda tersebut akan dilancarkan oleh Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang pada 14 Ogos ini.

Jelas beliau, inisiatif menaik taraf nama institusi berkenaan akan membuka laluan ke arah penubuhan sebuah universiti Islam negeri yang dijangkakan hala tuju pembangunannya sekitar 20 hingga 30 tahun akan datang.

Mengulas lanjut mengenai Modul Institut Latihan Islam Pulau Pinang yang dilancarkan, penghasilannya merangkumi empat teras utama, iaitu ekonomi, dakwah dan tarbiah, pengurusan pembangunan dan sains kemasyarakatan, serta perundangan.

“Modul-modul ini dibentuk sebagai asas supaya menghala kepada pembentukan jabatan dan fakulti bagi memunculkan sebuah universiti,” ujarnya lagi.

Beliau turut menyentuh tentang pembangunan Kampus Pintar Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) yang disasarkan siap menjelang tahun 2030 di Bandar Cassia, Batu Kawan.

Tambah beliau, pembangunannya kini berada dalam proses untuk mendapatkan ketetapan daripada jawatankuasa fatwa negeri sebagai wakaf irsad, iaitu wakaf oleh kerajaan negeri dengan pembangunan Masjid Bandar Raya Cassia yang dijadualkan bermula pada tahun hadapan.

Pihaknya juga menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM200 juta pada tahun ini serta pembangunan tanah wakaf sedang dilaksanakan di Permatang Damar Laut, Permatang Tok Kandu dan Bayan Lepas dengan kerjasama Perda Ventures Incorporated.

“Kita sedang berada dalam proses untuk mendapatkan kelulusan dana hampir 200 juta melalui Tabung Akaun Amanah Bumiputera Pulau Pinang bagi pembangunan projek perumahan mampu milik untuk golongan kurang berkemampuan,” katanya.

Pada masa yang sama, majlis perasmian program tersebut menyaksikan pelancaran Modul Institut Latihan Islam Pulau Pinang (ILIPP) bagi memantapkan penyampaian, menyusun struktur dan melestarikan pengurusan hal ehwal Islam negeri kepada khalayak.

Sementara itu, seminar tersebut turut menampilkan ucaptama oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan serta pelibatan tokoh agamawan sebagai panel bicara, iaitu Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil; Mufti Pulau Pinang Sahibus Samahah Profesor Madya Dato’ Dr. Mohd Sukki Othman serta Pengarah Program Merdeka Centre bagi Kajian Pendapat Awam, Tuan Ibrahim Suffian.

SEMASYAR Tahun 2025 Peringkat Negeri Pulau Pinang merupakan anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Pejabat Timbalan Ketua Menteri I dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang serta Al-Hady Centre (AHC).

Kredit Foto: Facebook Dato' Dr. Mohamad Abdul Hamid
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi