Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Penganjuran Muzakarah Kewangan Digital Islam atau Muzakarah Islamic Digital Finance (MIDF) 2025 baru-baru ini menjadi platform strategik yang menghimpunkan sebanyak 160 orang peserta pelbagai latar belakang dalam usaha memperkasakan kewangan digital patuh syariah di Malaysia.
Penganjuran ini melibatkan penyertaan sarjana syariah, ahli akademik, pakar industri dan penggubal dasar bagi membincangkan cabaran serta peluang dalam landskap kewangan digital Islam yang semakin pesat dan dinamik.
Bertemakan ‘Memperkasa Kewangan Digital Patuh Syariah: Inovasi, Etika dan Inklusiviti’, MIDF 2025 dianjurkan oleh Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) dengan kerjasama Persatuan Penasihat Syariah dalam Kewangan Islam Malaysia (ASAS) serta Institut Perbankan dan Kewangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIiBF).
DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Canselor UniSIRAJ berkenan menyempurnakan perasmian muzakarah yang berlangsung di Hotel Seri Malaysia, Kangar.
Turut berangkat sama ialah DYTM Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Rektor UniSIRAJ, Prof. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle dan Ketua Pegawai Kumpulan Bank Islam, Noor Farilla Abdullah.
Dalam ucapan alu-aluannya, Prof. Dr. Muhamad Rozaimi menegaskan keperluan mendesak membangunkan ekosistem kewangan digital yang berpaksikan prinsip Ssariah dan nilai etika Islam.
“Penerapan inovasi kewangan perlu diseimbangkan dengan amalan beretika serta pendekatan yang inklusif agar kemajuan tidak mengabaikan prinsip keadilan Islam,” jelas beliau.
MIDF 2025 turut menampilkan ucaptama oleh Noor Farilla Abdullah dan diteruskan dengan tiga sesi panel yang menghimpunkan pelbagai pandangan daripada tokoh akademik, wakil industri dan penggubal dasar.
Perbincangan ini menjadikan muzakarah sebagai medan wacana holistik serta berimpak tinggi dalam pembangunan kewangan Islam digital.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian dan menyaksikan majlis menandatangani dua kerjasama strategik.
Kerjasama tersebut melibatkan Memorandum Persefahaman antara UniSIRAJ dengan ASAS serta Surat Hasrat antara UniSIRAJ dengan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS).
Langkah ini memperlihatkan komitmen bersama untuk memperkukuh bidang kewangan digital Islam melalui jalinan erat antara institusi akademik, profesional dan industri.
Secara keseluruhan, MIDF 2025 menekankan kepentingan penyelarasan inovasi teknologi dengan prinsip etika Islam dalam ekosistem kewangan digital.
Penganjuran ini selaras dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi peneraju global dalam kewangan Islam digital yang adil, progresif dan patuh syariah.