Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 30 Julai 2025, 14:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Jerayawara Kesedaran Isu Sosial (J-KIS) Peringkat Kebangsaan buat julung-julung kalinya diadakan kepada golongan belia bagi meningkatkan pengetahuan serta kesedaran terhadap isu sosial terkini yang kritikal.

Program itu berjaya menarik penyertaan lebih 800 orang pelajar dan mahasiswa dari pelbagai institusi pendidikan, termasuk Sekolah Menengah Agama MAIWP, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Putrajaya, SMKA Maahad Hamidiah Kajang, Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP, Kolej Profesional MAIWP, Kolej Islam Antarabangsa dan Kolej Darul Hikmah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar berkata, program itu merupakan sebahagian daripada inisiatif pihaknya untuk melahirkan golongan belia yang cintakan ilmu pengetahuan.

“Sebagai bakal menjadi pemimpin pada masa hadapan, golongan belia mesti dibekalkan dengan ilmu pengetahuan,” katanya ketika berucap dalam program tersebut yang berlangsung di Dewan Serba Guna, Masjid Wilayah Persekutuan tengah hari tadi.

Menurut beliau, apabila Malaysia MADANI digagaskan oleh Perdana Menteri, antara asas penting untuk membentuk masyarakat yang bertamadun termasuklah melahirkan masyarakat yang berpengetahuan.

“Inilah antara objektif jerayawara ini diadakan dalam konteks kumpulan sasar pada kali ini ialah anak muda,” ujarnya.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama strategik agensi yang lain, termasuk Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Pusat Pungutan Zakat, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) bergabung atas prinsip bekerjasama ke arah kebaikan.

“Kita sebagai agensi agama yang diamanahkan untuk mengawal selia dan memastikan supaya Islam di negara kita ini ditegakkan,” tegasnya.

“Program jerayawara ini kita tumpukan kepada isu sosial yang hakikatnya bukan sahaja banyak berlaku dalam kalangan orang dewasa, malah turut membabitkan anak muda.

“Jika kita tidak boleh mengenal pasti perkara yang dimaksudkan dengan gejala sosial, kita akan terperangkap kerana kita tidak mengetahuinya dan mungkin perkara itu dilihat sebagai norma kehidupan,” jelasnya.

Ujar beliau, anak muda tidak mempunyai ilmu pengetahuan cenderung melakukan perbuatan yang bertentangan dengan hukum agama kerana perbuatan tersebut telah menjadi normalisasi dalam masyarakat.

Sehubungan dengan itu, kata beliau, penganjuran program itu adalah untuk memastikan ilmu pengetahuan yang dipelajari menghidupkan jiwa, lantas melahirkan perbuatan dan akhlak yang baik.

Selain itu, beliau turut berharap para pelajar yang menyertai program itu agar menanamkan semangat untuk menjadi ejen perubahan dalam masyarakat ke arah kebaikan.

Dalam program tersebut, para peserta menerima pendedahan menerusi perkongsian topik kritikal seperti isu gejala sosial, kesejahteraan kesihatan mental, kecelaruan seksual dan gender serta tanda-tanda pengantunan seksual (sexual grooming).

Program ini juga selaras dengan aspirasi kerajaan melalui gagasan “Islam Mekar di Bumi Malaysia” di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang memberikan penekanan kepada pembangunan insan yang holistik, berintegriti dan bertanggungjawab dalam usaha memacu kemajuan negara.

Kredit Foto: JAKIM
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi