Diterbitkan pada 25 Julai 2025, 20:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bukit Jalil – Kejayaan program Jalan Pulang: Tenang dan Menang di Akhir Zaman Siri Pertama membuka langkah kanan bagi pendakwah yang tidak asing dalam dunia dakwah tanah air, Dr. Ashraff Amirul dan Dai Izzhar Nazri untuk meneruskan kerjasama mereka dalam program Jalan Pulang Siri Kedua.

Jalan Pulang Siri Kedua kini kembali dengan kerjasama antara radio Zayan dengan kedua-dua orang pendakwah tersebut yang mengetengahkan mesej ketenangan jiwa dan perjuangan akhir zaman melalui pendekatan moden yang bersifat perkongsian ilmu, kisah inspirasi dan muhasabah diri yang menyentuh hati.

Pendakwah terkenal dan penulis buku Timeline Akhir Zaman, Dr. Ashraff Amirul.

Menurut Dr. Ashraff Amirul, Jalan Pulang bukan sekadar program, bahkan merupakan seruan kepada anak muda untuk kembali mencari kedamaian dan ketenangan dalam dunia yang semakin tenat.

“… Kerana hanya mereka yang kembali kepada Allah dengan hati yang hidup, akan menjadi orang yang selamat pada akhir zaman,” katanya dalam sesi sidang media di Dspace, Aurora Place Bukit Jalil, petang semalam.

Finalis program Dai Musim Kedua, Dai Izzhar Nazri.

Menurut Dai Izzhar Nazri pula, gabungan antara idea penulisan Dr. Ashraff Amirul, Timeline Akhir Zaman dengan kaedah spiritual psikologi yang dibawa oleh beliau boleh membawa luka dan segala ujian pulang ke suatu jalan yang paling tenang dan bahagia, iaitu jalan pulang kepada Allah SWT.

Dua lokasi pilihan bagi pelaksanaan Jalan Pulang: Tenang dan Menang di Akhir Zaman Siri Kedua adalah di Kelantan yang akan diadakan pada 23 Ogos 2025 (Sabtu) dan Kuala Lumpur pada 25 Oktober 2025 (Sabtu).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi