Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Malaysia bakal menjadi tumpuan dunia menerusi penganjuran Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2025 yang akan berlangsung dari 16 September hingga 26 September 2025 di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Acara mega ini menghimpunkan pelbagai pemain industri, penggubal dasar, ahli perniagaan, serta akademik bagi membincangkan hala tuju masa hadapan industri halal global.
GHaS 2025 merupakan platform penting untuk menyelaraskan piawaian dan meningkatkan kemahiran dalam kalangan pihak berkuasa persijilan halal global.
Menerusi hantaran Facebook pada 17 Julai 2025 yang lalu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menguar-uarkan tentang penganjuran GHaS 2025 kepada masyarakat umum.
“GHaS 2025 kembali dengan siri subacara berkuasa yang direka untuk meningkatkan ekosistem halal global.
“Daripada pensijilan kepada perniagaan, pendidikan kepada standard, sidang kemuncak ini menjadi pintu masuk anda kepada kecemerlangan halal yang terkini,” kata JAKIM.
Sertai kami untuk mengukuhkan jaringan halal global dengan tema berani: Integriti. Kelestarian. Daya Tahan.
Antara acara utama yang bakal berlangsung termasuklah Konvensyen Badan Pensijilan Halal dan Program Latihan dan Pembangunan Kapasiti Halal Antarabangsa di Hotel Shangri-La, dari 16 September hingga 18 September 2025.
Pameran Halal Antarabangsa Malaysia pula dijadualkan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 17 September hingga 20 September 2025, diikuti oleh Persidangan Perniagaan Halal Dunia pada 18 September 2025 di lokasi yang sama.
Komponen penyelidikan diserlahkan melalui Persidangan Penyelidikan dan Pendidikan Halal Antarabangsa Malaysia (MIHREC) yang bakal diadakan di The Everly Putrajaya dari 19 September hingga 22 September 2025.
Mesyuarat Institut Piawaian dan Metrologi untuk Negara-negara Islam (SMIIC) pula akan berlangsung di Hotel Impiana, KLCC bermula pada 22 September hingga 26 September 2025.
Penganjuran GHaS 2025 yang dihoskan dan dianjurkan bersama oleh agensi utama termasuklah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) merupakan suatu bentuk usaha bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab halal global.
“Tandakan tarikh anda dan nantikan makluman rasmi, pengumuman program serta butiran pendaftaran untuk bersama-sama menjayakan GHaS 2025!” ujar JAKIM.