Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bakal melaksanakan program al-Quran di Mana-mana: Tilawah dan Tadabur sempena Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran (MTHQA) yang ke-65 tahun ini.
Inisiatif ini membawa peserta dalam satu perjalanan ilmiah dan rohaniah yang memanfaatkan perkhidmatan tren KL Sentral ke Hat Yai, Thailand, sebagai platform utama untuk menyebarkan syiar Islam.
“Program ini merupakan misi suci menyemai nur al-Quran, merentasi rel kereta api, menyeberangi sempadan negara, dan menyentuh sempadan hati,” kata JAKIM menerusi hantaran di Facebook pada 15 Julai 2025.
Program ini yang dianjurkan dengan kerjasama pelbagai pihak, termasuklah institusi tahfiz di selatan Thailand, bertujuan untuk membuktikan bahawa aktiviti pengajian al-Quran tidaklah terhad kepada masjid atau madrasah sahaja, bahkan boleh diintegrasikan dalam kehidupan seharian selaras dengan konsep “al-Quran di Mana-mana”.
Perjalanan dimulakan dengan tadabbur Surah al-Fatihah di dalam tren dan diteruskan dengan pelbagai sesi tilawah dan tadabur sepanjang perjalanan ke utara tanah air.
Setibanya di Stesen Padang Besar, peserta menyertai bacaan al-Quran secara bersama sebelum meneruskan perjalanan ke Hat Yai untuk tadabur Surah al-‘Asr.
Ketika kemuncak program di Hat Yai, peserta melawat institusi Islam seperti Al-Hidayah Waqaf Foundation, Maahad Tahfzul Quran Masjid Jamul Kubra dan Maahad Tahfiz Al-Abdia, serta menyerahkan sumbangan wakaf al-Quran.
Beberapa sesi ceramah turut diadakan, antaranya termasuklah pengajaran daripada Surah al-Nisa’ bertajuk “Ibrah Hijrah” dan ibrah daripada Surah al-An‘am bertajuk “Khabar Gembira buat Orang Beriman”.
Sebelum pulang, rombongan singgah di Masjid Bannue Hat Yai untuk bacaan al-Quran bertaranum sebagai kemuncak rohaniah program.
Program ini berakhir dengan tadabbur Surah al-Nasr di dalam tren pulang, iaitu surah perlindungan daripada godaan syaitan sebagai simbolik perjalanan ilmu dan perenungan diakhiri dengan permohonan perlindungan daripada segala kejahatan.