Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Himpunan Muzakarah Umara’ dan Ulama’ Pondok Kebangsaan (UMRAN) 2025 menyeru seluruh umat Islam agar memperkasakan dialog sebagai wadah utama bagi menjamin kedamaian sejagat dan memupuk keharmonian sosial melalui pendekatan dakwah “bil-hikmah”.
UMRAN 2025 yang berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya menghimpunkan lebih daripada 5,000 hadirin termasuk wakil dari 106 institusi pondok di seluruh negara.
Program anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Akademi Kenegaraan Malaysia, Jabatan Komunikasi Komuniti dan pihak Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Pelbagai pengisian diadakan sepanjang program termasuk sesi ibadah bersama-sama masyarakat, muzakarah dan seminar yang memberikan tumpuan pada masa hadapan umat Islam.
Melalui perbincangan tersebut, para peserta sebulat suara menegaskan keperluan untuk umat Islam menyumbang secara aktif dalam pembangunan negara serta mengekang sebarang usaha yang boleh menggugat kestabilan kerajaan, keamanan dan perpaduan masyarakat.
Muzakarah ini turut menegaskan peranan penting institusi pondok dalam memelihara kesucian agama Islam dengan menyampaikan kefahaman berlandaskan Ahli Sunah Waljamaah. Pendekatan ini bertujuan menjernihkan kekeliruan, menolak kejumudan dan ketaksuban pemikiran yang boleh merosakkan perpaduan ummah.
Kerjasama erat antara ulama dengan umarak turut diperkuat melalui wadah Halaqah Ilmu MADANI yang diselaraskan oleh YADIM dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Pendekatan ini mengangkat dialog dan perkongsian ilmu sebagai platform strategik bagi mengukuhkan kefahaman Islam dan memperteguh perpaduan nasional.

Sebagai langkah lanjutan, muzakarah ini menyasarkan penganjuran program serupa secara berkala pada peringkat pusat dan negeri bagi memperkasakan jaringan ilmu, dakwah dan pembangunan ummah secara bersepadu.
Kemuncak majlis menyaksikan kehadiran Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menyertai jemaah untuk solat Isyak dan solat Hajat.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri menegaskan bahawa majlis ilmu perlu dimanfaatkan sebagai medan pencerahan dan kesedaran kepada umat Islam. Beliau juga menyeru semua pihak agar terus mempertahankan legasi keilmuan Islam serta memperkukuh hubungan antara ulama dengan umarak bagi mendepani cabaran era moden, termasuk perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) dan digitalisasi.
Beliau turut mengingatkan bahawa kejayaan teknologi mesti dipandu oleh nilai, akhlak dan kefahaman agama yang mendalam kerana aspek tersebut menjadi tunjang kekuatan umat Islam sejak sekian lama.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd. Na’im Mokhtar yang merasmikan program menyatakan bahawa UMRAN 2025 merupakan inisiatif yang selaras dengan hasrat Perdana Menteri agar para pemimpin sentiasa mendampingi ulama bagi membimbing hala tuju negara.
Menurut beliau, pertemuan secara berkala ini juga memberikan ruang kepada guru pondok untuk menyuarakan pandangan dan cadangan berkenaan pembangunan institusi mereka dan kemajuan negara secara menyeluruh.
Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa guru pondok memainkan peranan strategik bersama-sama agensi kerajaan bagi menangani pelbagai isu termasuk gejala sosial.

Majlis turut menyaksikan pembentangan resolusi UMRAN 2025 oleh Yang Dipertua YADIM, YBrs. Datuk Dr. Hasan Bahro. Yang turut hadir sama ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM, YBrs. Haji Amidi Dato’ Abdul Manan dan Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, YBrs. Ustaz Zamri Zainal Abidin.
Keberkatan program bertambah dengan kehadiran pendakwah terkenal dari Pakistan, Maulana Tariq Jamil yang menyampaikan tazkirah selepas solat Maghrib yang diimamkan oleh Sheikh Abdul Karim Al-Makki, Imam Masjid Negeri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.