Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Inisiatif Santuni al-Falah MADANI bakal menjadi kempen induk yang menyatukan dan menyelaraskan pelbagai program sedia ada agensi-agensi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam usaha menggerakkan agenda kesejahteraan sosial ummah secara lebih bersepadu dan berkesan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, cadangan kempen induk itu adalah selaras dengan teras kedua Pelan Transformasi Al-Falah, iaitu Kesejahteraan Insan yang menekankan aspek kemapanan ekonomi dan kebajikan sosial Islam.
“Menerusi usaha ini, program seperti musaadah, bantuan kebajikan, sokongan modal ekonomi, latihan peningkatan kapasiti dan intervensi sosial dapat diselaraskan secara bergandingan antara agensi bagi mengelakkan pertindihan dan memaksimumkan impak,” katanya Majlis Perhimpunan Agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Auditorium JAKIM pagi tadi.
Menurut beliau, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPIEM) bakal berperanan sebagai agensi peneraju dalam pembangunan pelan pelaksanaannya yang lebih berkesan dengan pelibatan aktif semua agensi hal ehwal agama.
“Bengkel penyelarasan antara agensi wajar dilaksanakan untuk mencadangkan inisiatif guna sama dan langkah reformasi pelaksanaan yang strategik.
“Sekretariat Dakwah Korporat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) boleh mengatur jaringan strategik dan mobilisasi sumber bagi memastikan kempen ini dapat bergerak dengan sokongan luas,” ujarnya.
Menyentuh Skuad al-Falah MADANI yang dilancarkan tahun lalu, beliau berkata pasukan itu perlu diaktifkan kembali dengan lebih teratur melalui latihan, koordinasi dan persediaan yang mantap terutama ketika tiba musim bencana.
Selain itu, beliau menjelaskan bahawa antara penekanan utama kerajaan pada masa ini termasuklah keperluan untuk semua kementerian dan agensi bekerjasama menangani cabaran rakyat, khususnya berkaitan dengan kos sara hidup, akses peluang ekonomi serta pemerkasaan kumpulan rentan pada peringkat akar umbi.
Tegas beliau, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak boleh berada di luar arus itu dan mesti bergerak sederap dengan kementerian dan agensi lain bagi menjayakan misi besar menyantuni rakyat melalui pendekatan lebih tersusun dan bersifat penyelesaian.
Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa Forum al-Falah MADANI bakal diperluas ke beberapa lokasi strategik di seluruh negara sebagai program berkala susulan impaknya yang positif dan memberangsangkan dalam mengangkat wacana hal ehwal Islam dan isu umat.
Jelas beliau, forum berkenaan memberikan ruang kepada ketua-ketua agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) membentangkan pandangan mengenai masa depan umat Islam dalam satu pentas yang sama.
“Ketua-ketua agensi boleh melaksanakan penggiliran menyampaikan amanat dan gagasan berdasarkan kerangka transformasi hal ehwal Islam dalam ruang lingkup masing-masing,”
“Masyarakat umum menantikan suara dan pandangan terus daripada kepimpinan tertinggi agensi agama berhubung dengan pelbagai isu semasa,” ujarnya.
Kata beliau, urus setia yang menyelaraskan forum itu akan mengenal pasti lokasi strategik bagi memastikan ketua-ketua agensi dapat turun padang dan menyampaikan pandangan mereka secara langsung kepada masyarakat.
“Usaha kita mestilah sentiasa selari dengan agenda nasional dan keutamaan besar yang digariskan, khususnya dalam memberikan respons terhadap cabaran sosioekonomi rakyat pada waktu ini,” tegasnya.