Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 15 Julai 2025, 09:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-65 yang bertemakan “Membangun Ummah MADANI” bakal menyaksikan penyertaan sebanyak 72 orang peserta dari 50 buah negara.

Malaysia akan diwakili oleh empat orang peserta, iaitu Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan (Perak) dan Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi (Terengganu) bagi kategori Tilawah al-Quran, manakala Muhammad Adib Ahmad Rozaini (Perak) dan Putri Auni Khadijah Mohd Hanif (Kelantan) akan bertanding dalam kategori Hafazan al-Quran 30 Juzuk.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar berkata, program tersebut akan berlangsung selama lapan hari bermula pada 2 hingga 9 Ogos 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Menurut beliau, perasmian pembukaan akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 2 Ogos pukul 8.55 malam, manakala perasmian penutupan dan pengurniaan hadiah akan diadakan pada 9 Ogos pukul 10.00 pagi.

“MTHQA Ke-65 bakal diadili oleh sebanyak 16 orang hakim antarabangsa dari pelbagai negara, termasuk Malaysia, Arab Saudi, Mesir, Jordan dan Indonesia,” katanya ketika berucap dalam Majlis Prapelancaran MTHQA Ke-65 di Dewan Tun Hussein Onn A, WTCKL, semalam.

Kata beliau, penganjuran bagi edisi kali ini menerima peningkatan sokongan tajaan, khususnya daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang tampil menyumbang barangan emas YaPEIM Gold kepada para pemenang utama.

Tambah beliau, Simposium al-Quran Sedunia (WQS) pada 7 Ogos menampilkan Imam Masjid Nabawi, Sheikh Dr. Salah Muhammad al-Budair sebagai tetamu undangan yang akan menyampaikan ucaptamanya dalam program itu.

Selain itu, antara pengisian lain dalam WQS termasuklah sesi perkongsian Markaz Knowledge City: Model Pembudayaan Nilai-nilai Qurani dalam Membina Tamadun oleh Sheikh Dr. Muhammad Abdul Hakim al-Kandi serta forum ilmiah bertajuk ‘Al-Quran Mengangkat Tamadun dan Kemuliaan Insan’ yang dibarisi oleh tokoh akademik tanah air sebagai ahli panel.

“WQS menjadi platform yang penting untuk membina jaringan dan berkongsi ilmu dalam kalangan komuniti al-Quran,” ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau turut mengumumkan bahawa MTHQA kali ini memperkenalkan acara Bacaan al-Quran Terpanjang dari KL Sentral ke Hatyai untuk dicatatkan dalam Malaysia Book of Records sebagai “Bacaan al-Quran Terpanjang di dalam Kereta Api Merentasi Sempadan Antarabangsa”.

“Acara ini merupakan kegiatan yang julung-julung kali kita laksanakan untuk mengajak dan memaklumkan kepada masyarakat tentang program MTHQA.

“Inisiatif ini membuktikan bahawa dakwah tidak terikat di mimbar atau dewan semata-mata, sebaliknya boleh disampaikan di mana-mana sahaja dengan pendekatan yang segar, bermakna dan penuh nilai,” katanya.

Mengulas lanjut, acara itu juga membuka lembaran baharu dalam penyampaian syiar Islam melalui teknologi, logistik dan kreativiti, selaras dengan mesej utama bahawa al-Quran wajar dibaca dan dihayati pada setiap masa.

Kredit Foto: Facebook - Dato' Setia Dr. Naim
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi