Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Festival Turath Islami Selangor (FITS) 3.0 2025 secara rasmi mula membuka tirainya hari ini dan akan berlangsung selama sembilan hari hingga 20 Julai 2025 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Majlis perasmian festival disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Yang Amat Berhormat (YAB), Dato’ Seri Amirudin Shari pada pagi tadi.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa usaha mengangkat kembali tradisi keilmuan dan kitab lama warisan Islam menerusi program tersebut merupakan sebahagian daripada ikhtiar kerajaan negeri dalam menangani cabaran yang dihadapi oleh umat Islam dalam negara ketika ini, selain pendekatan perundangan.
Menurut beliau, arus pemikiran moden yang mempengaruhi masyarakat dalam tempoh 50 tahun kebelakangan ini telah membawa fahaman simplistik dan menolak kaedah pemikiran mendalam terhadap sesuatu perkara.
Malah, lebih membimbangkan, hal tersebut turut menghakis aspek keberkatan dan kebaikan yang diwarisi daripada guru agama selama ini, lantas mendorong kepada pemikiran ekstrem dan keras seperti takfiri (mengkafirkan orang lain).
“Walaupun karya turath dianggap sebagai karya lampau dan warisan lama, tetapi pengalaman sejarah yang panjang ternyata menawarkan pandangan wasatiyah yang meraikan dan mampu membawa keamanan dan kebaikan di seluruh dunia.

“Inilah yang menarik tentang pandangan atau jalur pemikiran yang terkandung dalam Ahli Sunah Waljamaah yang telah ditafsirkan dengan jelas dalam undang-undang tubuh negeri dan undang-undang pentadbiran agama Islam negeri,” katanya.
“Kita harus membawa dan mempopularkan tradisi pendidikan pondok atau pesantren di seluruh Nusantara, iaitu Indonesia, Malaysia dan Patani yang sebenarnya sangat tajam pemikirannya dan mendalam pembelajarannya” ujarnya lagi.
Kata beliau, pada saat masyarakat mudah terpengaruh dengan pandangan radikal tatkala mencari makna dan harga diri, Selangor sebagai negeri yang maju mengambil pendekatan kembali kepada khazanah karya Islam yang menjadi asas pemikiran tradisi serta keharmonian masyarakat sejak sekian lama.
“Usaha menggali khazanah kitab dan pengajian lama ini membawa kita kepada jalan yang baik, iaitu jiwa yang tenang, hati yang terbuka, pemikiran yang jelas dan tidak mudah terheret dengan arus kebobrokan moden pada saat negeri mencapai kemajuan dalam pelbagai perkara,” katanya.
Selain itu, Amirudin turut menyentuh mengenai konteks semasa rantau ini, khususnya dalam kerangka “Dekad ASEAN” (ASEAN Century), yang mempunyai kekuatan tersendiri dalam aspek ilmu, adab dan tradisi tertentu.
“Festival ini bukan hanya untuk menadah dan meneliti sesuatu kitab, tetapi penganjurannya adalah untuk mengisi jiwa dan membawa kita ke arah keamanan, kestabilan, perpaduan,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pada edisi kali ini, tumpuan khusus diberikan kepada pengajian tafsir al-Quran serta tokohnya, iaitu Imam Jalaluddin al-Suyuti agar sumbangannya dapat dihayati oleh masyarakat umum.
Bertemakan “Mendalami Khazanah Warisan Islam”, FITS yang memasuki edisi ketiga sejak mula dianjurkan pada tahun 2023 itu sarat dengan pelbagai pengisian mernagkumi 14 acara seperti daurah, kuliah subuh dan maghrib, majlis bacaan selawat, marhaban, qasidah, syarahan perdana dan program bual bicara.
Majlis ini turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, YBhg. Dato’ Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Yang Berhormat (YB) Senator Datuk Salehuddin Saidin, Mufti Selangor, YBhg. Sahibus Samahah Dato’ Setia Profesor Madya Dr. Haji Anhar Opir dan Pengerusi Jawatankuasa Induk FTIS 2025, YBhg. Dato’ Johary Anuar.