Diterbitkan pada 11 Julai 2025, 21:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sepang – Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan operasi haji bagi 1466H/2025M berakhir dengan jayanya, semalam.

Menurut TH, kejayaan berkenaan merupakan hasil perancangan gerak kerja awal dan rapi bagi memastikan kesejahteraan jemaah haji terus terpelihara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar dalam kenyataan sama berkata, operasi haji pada tahun ini adalah antara operasi yang paling berjaya atas usaha TH melaksanakan persiapan awal yang menyeluruh dan penambahbaikan berterusan yang cekap dan berkesan.

“Alhamdulillah, segala perancangan yang telah disusun atur dengan teliti dan persiapan awal yang rapi dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Kita dapat melihat keberhasilan pengurusan logistik yang melibatkan penerbangan, pengangkutan, penginapan, sajian dan keselamatan jemaah sepanjang musim haji berlangsung,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau memaklumkan, segala usaha dan inisiatif yang dilaksanakan terbukti membuahkan hasil apabila TH diberi pengiktirafan antarabangsa berprestij melalui Anugerah Tertinggi Labaytum Diamond Award dalam pengurusan haji terbaik dunia.

Beliau turut menyarankan agar para pendeposit terus memastikan kadar simpanan yang stabil dengan menabung secara sistematik demi merealisasikan impian haji masing-masing.

Selain itu, katanya, pendeposit juga perlu mengemas kini rekod maklumat peribadi melalui THiJARI atau di mana-mana cawangan TH.

“Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga TH, agensi kerajaan terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Malaysia Airports Holding Berhad, syarikat korporat, para jemaah haji, serta semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung ataupun tidak langsung dalam menjayakan operasi haji tahun ini,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi khususnya Kementerian Haji dan Umrah serta Kedutaan Arab Saudi di Malaysia atas segala kerjasama yang diberikan.

Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar, Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Haji Mustakim Mohamad hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam bagi menyambut ketibaan sebanyak 264 orang jemaah haji daripada KT093 yang tiba pada pukul 9.35 malam menerusi pesawat AMAL by Malaysia Airlines (MH 8395).

Kredit Foto: Facebook Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi