Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar menasihatkan orang ramai supaya menghentikan normalisasi maksiat atas nama kebebasan peribadi, sebaliknya bangkit membina benteng akhlak dan rohani dalam diri.
Beliau menzahirkan kebimbangan apabila sebanyak 1091 pelajar IPT direkodkan menghidap HIV antara tahun 2020 hingga 2024 dan majoritinya berumur hanya 18 hingga 19 tahun.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 222 kes merupakan kes baharu.
“Gejala sosial dan keruntuhan nilai moral menjadi punca utama kepada peningkatan jangkitan HIV dalam kalangan anak muda.
Sudah tiba masanya kita menghentikan normalisasi maksiat atas nama kebebasan peribadi.
“Sudah tiba masanya kita bangkit membina benteng akhlak dan rohani,” ujarnya dalam hantaran di Facebook beliau, pagi tadi.
Beliau menegaskan, pendidikan, kesedaran dan penguatkuasaan perlu bergerak secara bersama demi mengatasi masalah tersebut.
Oleh hal yang demikian, kata beliau, semua pihak terutamanya agensi agama dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) perlu berganding bahu untuk menyelamatkan generasi pewaris negara.
“Kerajaan MADANI komited membina masyarakat yang bukan sahaja maju dari segi intelek, bahkan juga sihat dari segi akhlak dan spiritual,” ujarnya.
Terdahulu, Timbalan Menteri Kesihatan, YB Dato’ Lukanisman Awang Sauni memaklumkan perkara tersebut dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Meja Bulat Media mengenai Pendekatan Pengurangan Kemudaratan 2025 pada Selasa lalu.