Diterbitkan pada 25 Jun 2025, 21:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kerajaan bersetuju memilih tema “Membangun Ummah MADANI” sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/2025M pada 27 Jun 2025 (Jumaat), bersamaan dengan 1 Muharam 1447H.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan untuk berangkat bersama-sama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah ke majlis tersebut yang bakal berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibiton Centre (MITEC), Kuala Lumpur.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan isteri dijadual hadir bersam-sama bagi menyemarakkan lagi majlis sambutan pada tahun ini.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee, antara mesej yang ingin disampaikan dalam sambutan pada kali ini termasuklah tentang peri pentingnya setiap umat Islam mengambil ibrah hijrah dalam pembangunan ummah.

Katanya, pembangunan ummah MADANI menepati elemen keterangkuman untuk membina masyarakat bertamadun, bukan sahaja dari aspek fizikal, malah melahirkan modal insan yang cemerlang dari aspek spiritualnya.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee

“Sambutan pada kali ini akan mengetengahkan semangat hijrah khususnya usaha serta pengorbanan yang dirukuni oleh Rasulullah SAW untuk membangunkan ummah yang berteraskan nilai murni, berpaksikan kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, kehormatan, keyakinan dan ihsan khususnya bagi meraikan kemajmukan melalui kepelbagaian.

“Naratif pembangunan ummah juga amat signifikan dengan konsep ‘Islam Mekar di Bumi Malaysia’, mengambil kira aspirasi yang jelas tentang peranan dan tanggungjawab bersama demi mendaulatkan kedudukan agama Islam di negara kita yang tercinta ini,” ujarnya.

Katanya lagi, Penganugerahan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa akan dikurniakan kepada tokoh yang dipilih, berdasarkan sumbangan besar dalam pembangunan ummah dan pengembangan syiar Islam, selain mendapat pengiktirafan serta diterima oleh masyarakat di dalam dan di luar negara.

“Pemilihan tokoh juga mengambil kira pengetahuan dan pengalaman yang luas serta mempunyai sifat dan peribadi yang unggul untuk dicontohi,” katanya.

Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan akan dimulakan dengan Majlis Bacaan Doa Akhir dan Doa Awal Tahun di Masjid Negara, Kuala Lumpur, pada 26 Jun 2025 (Khamis), pukul 6.30 petang.

Majlis tersebut akan dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar dan akan dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negara, YBrs. al-Fadhil Tuan Haji Ehsan Mohd Hosni.

“Orang ramai dijemput hadir mengimarahkan majlis dan bersama-sama memohon perlindungan dan keselamatan negara kita yang tercinta ini.

Tausiyah khas hijrah akan disampaikan oleh Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), YBhg. Profesor Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim,” kata Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee.

Kira-kira 8000 orang tetamu dijangka akan hadir ke Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 2025, yang terdiri daripada Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri, Perwakilan Asing di Malaysia, Ketua-ketua Jabatan/Agensi Kerajaan, pegawai-pegawai kanan kerajaan, kontinjen yang mengambil bahagian serta orang awam.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi