Diterbitkan pada 20 Jun 2025, 15:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung fatwa bertarikh 31 Julai 2014, namun tidak bersependapat dengan ketetapan bahawa fatwa tersebut tidak terpakai kepada Sisters in Islam (SIS) Forum (Malaysia), sebaliknya hanya kepada individu.

Pengerusi MAIS, Yang Berhormat (YB) Senator Dato’ Setia Salehuddin Saidin dalam satu kenyataan semalam menyuarakan kebimbangan bahawa keputusan itu membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk berselindung di sebalik nama Islam dalam institusi atau pertubuhan bagi menyebarkan ajaran sesat.

“MAIS menzahirkan rasa dukacita kerana keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut secara tidak langsung telah mencampuri urusan pembuatan dan pemakaian fatwa yang berkaitan dengan persoalan hukum syarak,” katanya.

Dato’ Salehuddin turut menyatakan bahawa MAIS menyokong penuh penghakiman bertentangan oleh Hakim Dato’ Abu Bakar Jais, yang berpandangan bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan pertikaian berkaitan fatwa.

Menurut beliau, pendekatan tersebut selaras dengan hujah MAIS yang merujuk kepada konsep orang buatan atau artificial person (syakhsiyyah i‘itibariyyah) dalam kehakiman Islam, yang membolehkan tindakan diambil terhadap pertubuhan atau syarikat yang menggunakan nama Islam.

“Walaupun dalam kes ini syarikat yang terlibat bukan merupakan orang sebenar yang boleh menganut agama Islam, namun syarikat ini tertakluk pada fatwa berdasarkan nama SIS, iaitu ‘Sisters in Islam’ yang jelas menunjukkan identiti Islam,” jelas beliau.

MAIS turut menegaskan komitmen untuk mengambil tindakan sewajarnya dengan kerjasama kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, Majlis Agama Islam Negeri serta institusi diraja untuk memperkasakan perundangan yang berkaitan.

“MAIS memberikan jaminan bahawa pihaknya bersama-sama dengan badan penguat kuasa agama di Selangor akan sentiasa memantau dan menjalankan penguatkuasaan bagi memastikan ajaran sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam ini dapat dibanteras,” katanya.

Beliau berkata, pendirian MAIS ini telah disembah maklum kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, dan baginda turut menzahirkan kekecewaan dan dukacita terhadap sebahagian daripada keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut.

Tambahnya, DYMM Sultan Selangor menegaskan bahawa penggunaan perkataan “Islam” dalam nama dan penerbitan SIS Forum (Malaysia) boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam.

“Sehubungan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan ini, DYMM Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam di negeri Selangor menggesa SIS Forum (Malaysia) tidak lagi menggunakan perkataan ‘Sisters in Islam’ ke atas apa-apa bentuk penerbitan di mana-mana platform yang dikaitkan dengan syarikat mereka supaya perkataan Islam tidak sewenang-wenangnya digunakan untuk faedah dan kepentingan syarikat tersebut,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa fatwa yang mengisytiharkan pemikiran liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam hanya terpakai kepada individu Muslim, dan bukan kepada entiti seperti pertubuhan atau syarikat.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, dalam penghakiman majoriti menyatakan bahawa istilah “orang-orang yang menganut agama Islam” dalam Perlembagaan Persekutuan hanya merujuk manusia sebenar, dan bukan entiti perundangan seperti syarikat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi