Diterbitkan pada 14 Jun 2025, 21:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

 

KANGAR – RHB Islamic Bank Berhad menyerahkan zakat korporat berjumlah RM1 juta kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), sebagai tanda komitmen berterusan institusi kewangan itu dalam menyokong pembangunan sosioekonomi komuniti asnaf di negeri Perlis.

Jumlah sumbangan zakat tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak RM350,000 berbanding dengan sebanyak RM650,000 pada tahun lalu, sekali gus mencatatkan angka tertinggi yang pernah disalurkan oleh pihak bank kepada MAIPs setakat ini.

Penyerahan zakat telah dipersembahkan oleh Pengarah Urusan RHB Islamic, YBhg. Datuk Adissadikin Ali, kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Perlis dalam sebuah majlis ringkas tetapi penuh bermakna yang berlangsung di Masjid Al-Muqorrobin, Behor Empiang, bersempena dengan Program Hijrah Minda MAIPs Bilangan Ke-16 bagi tahun 2025.

Berangkat mengiringi baginda DYMM Raja Perlis ialah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis dan DYTM Tuanku Dr. Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Raja Puan Muda Perlis bersama-sama anakanda baginda, Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, YBrs. Encik Mohd Nazim Mohd Noor.

Sebelum itu, DYTM Tuanku Raja Muda dan DYTM Tuanku Raja Puan Muda berkenan menyempurnakan penyampaian agihan zakat MAIPs kepada kira-kira 300 asnaf terpilih dari kalangan anak kariah Behor Empiang, Abi, Nesam dan Kechor. Setiap penerima menerima sumbangan sebanyak RM700, menjadikan jumlah keseluruhan agihan bernilai RM210,000.

Sumbangan ini mencerminkan usaha berterusan MAIPs dan rakan strategik seperti RHB Islamic Bank Berhad dalam memperkukuh ekosistem kebajikan serta menyantuni keperluan masyarakat Islam, khususnya golongan asnaf yang memerlukan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi