Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 14 Jun 2025, 14:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Pelancaran buku Dialog Politik Islam: Menelusuri Jalan Kesederhanaan yang berlangsung di Dewan Sheikh Daud al-Fathoni, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin semalam telah membuka lembaran baharu dalam usaha memugar kembali wacana politik Islam dengan mengambil kira konteks serta realiti di Malaysia.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dr. Zulkifli Hasan dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa wacana politik Islam masa ini menuntut pendekatan baharu yang relevan dengan zaman dan suasana semasa negara.

“Kita berada dalam realiti yang berbeza daripada zaman al-Mawardi dan Ibn Khaldun, dan kita hidup pada era pascanormal yang memerlukan kepada sebuah pentafsiran baharu yang bersesuaian dengan kerangka negara Malaysia yang pelbagai bangsa, budaya dan kearifan tempatan,” katanya.

YB Senator Dr. Zulkifli Hasan ketika menyampaikan ucapan perasmiannya dalam program Wacana Siasah Syar’iyyah dan Pelancaran Buku Dialog Politik Islam.

Menurut Dr. Zulkifli, antara perkara utama yang perlu diberi perhatian termasuklah pembinaan masyarakat yang harmoni dalam bingkai kesatuan menerusi kefahaman sebenar tentang politik Islam, meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran.

Selain itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap wujudnya kekeliruan dan salah faham dalam kalangan masyarakat terhadap konsep politik Islam yang sering menjadi punca tercetus perbalahan dan perpecahan, lantas mencerminkan tahap kefahaman khalayak yang masih rendah.

“Kefahaman yang meletakkan politik sebagai perkara akidah akan mencetuskan fenomena takfiri (tuduhan kafir), tafsiq (tuduhan fasik) dan tanfi (menolak pihak lain secara mutlak).

“Sebaliknya jika kita memahami konsep siasah sebagai perkara furuk dan faraghat (suatu ruang yang boleh ijtihad), maka kita akan lebih terbuka mengiktiraf perbezaan pandangan,” ujarnya.

Lantaran itu, beliau menekankan bahawa kegiatan wacana dan aktiviti keilmuan merupakan jalan terbaik untuk memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap konsep politik Islam secara lebih menyeluruh dan konstruktif.

Mengulas lanjut tentang pelaksanaan program Wacana Siasah Syar‘iyyah yang dirancang, beliau memaklumkan bahawa inisiatif tersebut akan diadakan secara bersiri dan terbuka untuk dianjurkan di seluruh negara dengan kerjasama pelbagai pihak.

Ujar beliau, sebanyak 100 orang panel penceramah telah dikenal pasti untuk terlibat sama bagi menjayakan wacana tersebut secara berterusan.

YB Senator Dr. Zulkifli Hasan (dua dari kiri) ketika menyempurnakan gimik pelancaran buku Dialog Politik Islam: Menelusuri Jalan Kesederhanaan dengan disaksikan oleh para tetamu kenamaan yang lain.

“Wacana ini merupakan program pencetus kepada suatu gerakan gelombang baharu bagi menyemarakkan kefahaman tentang siasah syar‘iyyah dan politik Islam sebenar yang menjadi pemangkin Malaysia yang berkemajuan, terkedepan, moderat dan wasatiyah,” tegasnya.

Tambah Dr. Zulkifli, politik Islam yang sebenar ialah politik yang mencipta tamadun, meraikan kepelbagaian, mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran selaras dengan prinsip yang terkandung dalam al-Quran dan sunah.

“Apabila kita benar-benar memahami politik Islam, kita akan lebih bersedia untuk saling menghormati, berbeza pandangan, serta menyatukan visi ke arah pembinaan baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur (negara yang baik dan diampunkan Tuhan),” katanya.

Buku Dialog Politik Islam: Menelusuri Jalan Kesederhanaan yang diterbitkan di bawah inisiatif Pejabat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu mengandungi lima bab utama dengan 53 persoalan penting berkaitan dengan pelbagai aspek, termasuk Asas Politik Islam, Islamis dan Pelaksanaan, Islam dan Demokrasi, Hubungan Muslim dan Bukan Muslim, serta Hubungan Antarabangsa.

YB Senator Dr. Zulkifli Hasan bersama-sama dengan para tetamu kenamaan lain ketika menampilkan buku Dialog Politik Islam: Menelusuri Jalan Kesederhanaan yang telah dilancarkan.

Terdahulu, majlis tersebut turut diserikan dengan program Wacana Siasah Syar’iyyah yang menampilkan dua orang panel jemputan, iaitu Mufti Wilayah Persekutuan, YBhg. Sahibus Samahah Ahmad Fauwaz Ali @ Fadzil dan penulis buku, YBrs. Ustaz Marwan Bukhari A Hamid.

Wacana Siasah Syar’iyyah yang merupakan sebahagian pengisian program turut membincangkan isu kontemporari berkaitan dengan politik Islam dalam negara.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, YBrs. Tuan Haji Zamri Zainal Abidin; Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia, YBhg. Profesor Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil serta pegawai kanan kerajaan.

Kredit Foto: Zulhilmi
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi