Diterbitkan pada 13 Jun 2025, 16:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Makkah – Kerajaan Arab Saudi memperkukuh sistem pengurusan ibadah haji dan umrah dengan memperkenalkan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang dikenali sebagai Baseer bagi memastikan keselamatan dan keselesaan jemaah terjamin sepanjang musim ibadah.

Teknologi canggih ini telah digunakan dan diintegrasikan di kawasan tumpuan seperti Masjidilharam, Mina, Arafah dan Muzdalifah bagi membantu pengurusan keluar masuk jemaah, mengawal kesesakan, serta memantau pergerakan jemaah secara masa nyata dengan lebih efisien dan berstruktur.

Platform Baseer dibangunkan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Data dan Kecerdasan Buatan Arab Saudi (SDAIA), dan telah menunjukkan impak positif dalam pengurusan orang ramai sepanjang Ramadan 1446 Hijrah, terutamanya di kawasan Mataf yang mampu merekodkan sehingga 30 ribu orang jemaah secara serentak dalam satu masa.

“Penggunaan AI bukan untuk menggantikan pengawasan manusia, tetapi untuk meningkatkan lagi kecekapan manusia,” kata jurucakap Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi yang mengulas tentang pendekatan Arab Saudi untuk meningkatkan keberkesanan sistem pengurusan ibadah haji.

“Objektif utama kami untuk menggunakan data bagi menjangka cabaran dan menyelesaikannya sebelum cabaran tersebut bermula,” tambah beliau yang merujuk keupayaan sistem pintar ini meramal zon berisiko tinggi dan membolehkan pasukan operasi mengambil tindakan awal bagi mencegah sebarang insiden.

Sistem AI ini menganalisis data video yang dirakam oleh ribuan kamera dan penderia secara langsung untuk mengenal pasti tingkah laku jemaah serta merancang semula pergerakan mereka, terutamanya semasa waktu puncak seperti solat berjemaah dan ritual utama haji.

Baseer turut menyumbang kepada pencarian individu hilang menerusi pengecaman wajah masa nyata, serta menyokong koordinasi kecemasan dan pergerakan jemaah warga emas dan golongan kurang upaya di kawasan tanah suci.

Perkembangan ini mencerminkan matlamat Vision 2030 Arab Saudi yang lebih luas, iaitu mengubah pengalaman haji melalui penyelesaian pintar, dan pada masa yang sama mengekalkan inti pati rohani.

Dengan peningkatan suhu dan jumlah jemaah dijangka melebihi dua juta, AI akan menjadi komponen kritikal dalam memastikan keselamatan, pergerakan dan ketenangan fikiran jemaah sepanjang tempoh ibadah.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi