Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Program Ibadah Korban dan Akikah Surau al-Hukama’ pada tahun ini terus menyemarakkan semangat kebersamaan dan ukhuwah dalam kalangan karyawan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan pelibatan kira-kira 70 orang sukarelawan yang tampil membantu menjayakan program tersebut.
Program yang berlangsung di pekarangan Wisma DBP semalam menyaksikan sebanyak dua ekor lembu dikorbankan serta pengagihan daging korban kepada sebanyak 70 orang penerima terpilih yang terdiri daripada karyawan DBP dan asnaf kariah.

Program anjuran Surau al-Hukama’ dengan kerjasama Bahagian Komunikasi Korporat, Badan Keluarga DBP dan PUSPANITA DBP itu telah disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari.
Dalam ucapannya, YBrs. Dr. Hazami Jahari merakamkan penghargaan kepada pihak jawatankuasa surau atas komitmen berterusan untuk menganjurkan program keagamaan yang memberikan manfaat besar kepada karyawan dan komuniti, selain menekankan kepentingan memelihara niat serta semangat asal ibadah korban.
“Mudah-mudahan, dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT, ibadah korban ini akan membawa keberkatan, manfaat dan penghayatan terhadap falsafah di sebalik pelaksanaannya,” ujar beliau.
“Saya mencadangkan agar program seumpama ini diteruskan dan diperkasakan pada masa akan datang, sama ada dari segi jumlah penyertaan yang boleh ditambah menerusi pelbagai kaedah, dan pihak pengurusan DBP akan terus menyokong usaha murni ini,” katanya lagi.
Beliau mengingatkan bahawa tanggungjawab untuk mengimarahkan kegiatan anjuran surau merupakan amanah bersama dalam kalangan warga DBP, di samping melaksanakan tugas hakiki sebagai penjawat awam.
“Suatu kerugian besar kepada kita sekiranya kegiatan keagamaan seumpama ini tidak diimarahkan,” tegas beliau.

Mengulas mengenai perkembangan terkini, Dr. Hazami memaklumkan bahawa Mesyuarat Lembaga Pengelola DBP baru-baru ini telah meluluskan peruntukan kewangan bagi menyokong pelaksanaan program korporat DBP, termasuklah kegiatan keagamaan tahunan seperti sambutan Maulidur Rasul dan Awal Muharam.
Pada masa yang sama, beliau juga mengumumkan bahawa DBP bakal menjadi tuan rumah bagi penganjuran Forum Perdana Hal Ehwal Islam yang dijadualkan berlangsung pada 3 Julai ini bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-69.
“Perkara ini merupakan suatu penghormatan besar kepada DBP kerana bukan mudah untuk memperoleh slot siaran langsung seperti ini, Yang Berhormat (YB) Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Menteri Pendidikan dan beberapa orang tetamu kenamaan lain turut akan hadir,” jelas beliau.

Sementara itu, Pengerusi Surau al-Hukama’ DBP, YBrs. Tuan Syed Mashor Syed Mustapha turut menzahirkan penghargaan terhadap sokongan padu daripada pihak pengurusan DBP terhadap usaha tersebut.
“Kesudian Ketua Pengarah DBP untuk bersama-sama menjayakan program ini selama dua tahun berturut-turut amat kami hargai kerana tanpa sokongan pihak pengurusan, program ini tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan jayanya,” ujarnya.
Yang turut hadir memeriahkan program tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Dato’ Dr. Mohd Anuar Haji Rethwan; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; Ketua-ketua Bahagian dan Ketua-ketua Editor.
