Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Selain mendidik umat Islam agar lebih empati terhadap golongan yang memerlukan, menanamkan rasa prihatin dan kasih sayang dalam masyarakat, ibadah korban juga dapat menyemai ukhuwah yang erat dan saling menyokong antara satu sama lain.
Demikian titah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat bersama-sama DYTM Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil untuk meluangkan masa dengan masyarakat setempat meninjau ibadah korban yang dijalankan di Masjid Negeri Arau dan Masjid Al-Mursyid, Pauh Guring.

Turut berangkat mengiringi baginda berdua ialah anakanda putera, Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail dan anakanda puteri, Yang Amat Mulia (YAM) Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan YAM Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Dalam pertemuan itu, baginda turut menzahirkan harapan agar sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini membawa keberkatan, keikhlasan dan semangat pengorbanan yang mendalam dalam jiwa setiap insan dan hari yang mulia ini sewajarnya diraikan dengan penuh rasa syukur, kasih sayang dan kebersamaan bersama-sama insan tersayang.
Pada masa yang sama, baginda berdua juga menitipkan peringatan bahawa ibadah korban mengandungi pelbagai hikmah dan nilai yang mendalam, membentuk sahsiah individu yang luhur, membina keharmonian masyarakat serta memupuk sifat keikhlasan dan kesyukuran dalam setiap amalan kehidupan.