Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menerusi platform medianya, IKIMfm dan tvIKIM bakal menyajikan pelbagai rancangan istimewa sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1446H/2025M.
Menurut IKIM, dengan bertemakan “Inspirasi Kembara Suci”, program yang disajikan ini bertujuan untuk menghayati hikmah ibadah haji dan falsafah korban, di samping menyemai nilai pengorbanan dan keikhlasan dalam kalangan masyarakat.
“Sepanjang tempoh 1 Zulhijah hingga 10 Zulhijah, pada pukul 4.50 petang, para pendengar IKIMfm bakal disajikan dengan program ‘Debaran Mabrur’.
“Program tersebut menampilkan Ustazah Noor Laila Aniza Zakaria yang mengetengahkan kisah menyentuh hati para jemaah haji yang berjuang demi memperoleh haji yang mabrur,” katanya dalam suatu kenyataan.
Tambahnya, pendengar turut dihidangkan dengan rancangan “Kapsul Haji” oleh Ustaz Tariq Mohd Akbar yang berkongsi info, hikmah dan amalan sepanjang bulan Zulhijah.
IKIM berkata, pendengar IKIMfm juga bakal menikmati drama khas Aidiladha bertajuk Mengimpi Sekilas Harapan, yang mengisahkan pengorbanan seorang ketua kampung dalam usaha menyantuni masyarakatnya.
Katanya, drama ini bakal bersiaran pada 7 Jun hingga 9 Jun 2025, pada pukul 4.10 petang dengan siaran ulangan pada pukul 8.45 malam, hari yang sama.
Selain itu, katanya, pengisian Kapsul Aidiladha juga disajikan dalam pelbagai bahasa, antaranya termasuklah bahasa Arab, Mandarin, Tamil serta bahasa suku kaum dari Sabah dan Sarawak.
“Kapsul ini bertujuan untuk menyampaikan makna, sejarah serta nilai pengorbanan dan ibadah korban dalam konteks masyarakat Islam yang berbilang bangsa dan budaya,” jelasnya.
Tambah IKIM, penggunaan bahasa yang pelbagai dalam rancangan ini mengukuhkan kefahaman dan perpaduan komuniti Muslim serta memudahkan penyebaran ilmu kepada pendengar daripada latar belakang mualaf yang berbeza-beza.
Selain itu, katanya, penerbitan kapsul Light of Life Capsule – “Eid Adha 2025 Special” juga disiarkan setiap hari pada pukul 6.55 pagi yang membawakan pengisian oleh Syeikh Hamzah Wald Maqbul, seorang ulama dan pensyarah kanan di Ribat Institute and al-Balagh Academy.
“Beliau akan berkongsi penghayatan terhadap perjuangan dan pengorbanan Nabi Muhammad SAW berdasarkan hadis pilihan daripada buku Sacrifice: The Legacy of Our Beloved Prophet Muhammad SAW karya Syeikh Tameem Ahmadi,” jelasnya.
Menurut IKIM, bagi penerbitan program Istimewa Aidiladha 1446H di tvIKIM yang disiarkan menerusi pelantar digital www.tvikim.my pula, antaranya termasuklah Siaran Takbir Aidiladha pada 6 Jun 2025, pukul 8.00 malam, serta pada 7 Jun hingga 10 Jun 2025, pukul 8.00 pagi dan 5.00 petang.
Tambahnya, penonton TV internet itu juga boleh mengikuti rancangan khas Dokumentari Khas Tun Abdullah: Pemikiran, Integriti dan Insan yang akan bersiaran pada 7 Jun 2025, pukul 10.30 pagi.
Kata IKIM, kandungan penyampaian dakwah istimewa sempena Aidiladha 1446H boleh diikuti menerusi media sosial di Facebook: ikimfm. Instagram: ikim.my, laman sesawang: www.ikim.my dan TikTok: radioikim.