Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Program Bicara Karya Mukjizat al-Quran dalam Menangani Gangguan Tidur hasil nukilan YBrs. Dr. Mohd Amzari Tumiran membincangkan konsep mukjizat al-Quran sebagai intervensi terapeutik bagi gangguan tidur, di samping mengintegrasikan pengetahuan saintifik dengan ajaran Islam.
Bicara karya tersebut berlangsung semalam di reruai Dewan Tun Hussein Onn yang bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025.
Buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini turut membincangkan sifat mukjizat al-Quran sebagai terapi, konsep tidur dalam kehidupan manusia, aktiviti tidur dari perspektif Islam, doa dan solat berdasarkan al-Quran dan hadis, serta hikmah amalan tidur yang berkualiti dalam Islam.

“Buku ini menerangkan tentang i’jaz al-Quran atau sifat mukjizat al-Quran, yang merangkumi pelbagai aspek seperti mukjizat linguistik, pensyariatan, fisiologi dan psikologi.
“Saya juga memberikan penekanan bahawa al-Quran sebagai mukjizat mampu memberikan kesan yang baik terhadap fisiologi dan psikologi manusia, terutamanya dalam usaha menangani gangguan tidur,” ujar Dr. Mohd Amzari yang merupakan Pensyarah Kanan Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Tekonologi MARA.
Beliau juga memfokuskan ayat tertentu yang mampu memberikan ketenangan emosi, serta ayat yang perlu diamalkan sebagai persediaan sebelum tidur.
“Buku ini sangat berguna bagi mereka yang ingin memahami lebih lanjut tentang hubungan antara al-Quran, tidur, dengan kesejahteraan mental dan fizikal,” ujarnya.
Beliau turut mengetengahkan cara mudah untuk mengelakkan daripada mimpi buruk yang juga amalan sunah Rasulullah SAW, iaitu berwuduk sebelum tidur dan mematikan suis lampu.

“Yang pastinya, kita juga hendaklah membersihkan tempat tidur kerana kadangkala terdapat gangguan daripada makhluk halus seperti jin yang akan mengundang gangguan tidur,” jelasnya lagi.
Antara karya lain yang pernah dihasilkan oleh penulis termasuklah buku berjudul Tidur Menurut Perspektif Sains Moden dan Sains Islam, penulisan bersama-sama dengan Durriyyah Sharifah Hasan Adli, dan 40 Hadis Pelestarian Alam Sekitar, penulisannya bersama-sama dengan Mohd Yakub@Zulkifli Mohd Yusoff.
Turut hadir dalam sesi bicara karya tersebut ialah Ketua Editor Bahagian Buku Umum DBP, Yang Mulia Tengku Fauziah Ku Mat merangkap moderator program; ketua editor dan ketua bahagian DBP; Ketua Unit Sains Kemanusiaan Bahagian Buku Umum DBP, Puan Ritah Yahya; Ketua Unit Agama Bahagian Buku Umum DBP, Puan Siti Maizatul Rozihani Ikhsan; dan para pengunjung PBAKL 2025.