Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dalam usaha memperkukuh perpaduan ummah dan bangsa Malaysia, buku agama dilihat sebagai elemen penting yang mampu bertindak sebagai kompas moral, bimbingan rohani, serta panduan kehidupan berlandaskan syariat Islam.
Sehubungan dengan itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada hari ini melancarkan tujuh judul buku bertemakan agama dalam Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025, hasil kerjasama agensi ini dengan penulis tempatan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan dalam ucapannya sebelum merasmikan pelancaran tersebut menegaskan bahawa perkembangan teknologi masa ini memerlukan panduan agama agar segala kemajuan tidak terpesong daripada landasan yang benar.
“Buku agama sangat diperlukan untuk memastikan teknologi dipandu oleh agama.
“Buku ini membimbing masyarakat menjalankan tugas harian menurut ajaran Islam yang sebenar,” katanya.
Menurut beliau lagi, penerbitan karya berbentuk keagamaan bukan sahaja perlu bersifat umum, teoretikal dan falsafah, malah harus menjawab isu semasa yang dekat dengan realiti masyarakat, seperti kesihatan mental, kekeluargaan dan kesejahteraan sosial.

Majlis pelancaran ini turut dihadiri oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari yang dalam ucapannya menyifatkan pelancaran ini sebagai langkah pertama untuk menjadikan DBP sebagai penerbit tersohor dalam penerbitan buku bidang agama.
“DBP menyediakan ruang dan peluang kepada para sarjana dan penulis untuk menghasilkan buku ilmiah bertemakan agama, dengan sokongan daripada Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),” ujar beliau.
Menurut YBrs. Dr. Hazami,
Tanggungjawab DBP adalah untuk menerbitkan buku terbaik dalam bahasa kebangsaan.
“Tanggungjawab pengarang adalah untuk menghasilkan karya bermutu tinggi yang dapat memenuhi keperluan ummah.
“Pembaca pula perlu menghayati dan mengamalkan isi kandungan buku sebaik-baiknya,” ujarnya.
Dengan pelancaran ini, DBP menyasarkan penerbitan yang lebih meluas dalam bidang keagamaan bagi melahirkan masyarakat berilmu, aman dan harmoni, serta merealisasikan hasrat menjadi hab penerbitan buku agama di Malaysia dan rantau ini.
Tujuh judul baharu yang dilancarkan ialah Asuhan Cinta Remaja; Pengajian Pondok: Pembangunan Jiwa Mandiri; Pendidikan Tauhidik untuk Kesejahteraan Sosial; Konsep Bangunan Hijau dalam Pembangunan Islam; Perubatan Moden dan Ruqyah Syar’iyyah; Mukjizat al-Quran dalam Menangani Gangguan Tidur; serta Pembangunan Lestari dari Perspektif Maqasid Syariah.
Semua judul ini diterbitkan di bawah Bahagian Buku Umum DBP, mencakupi pelbagai bidang ilmu yang berasaskan nilai Islam dan kesejahteraan sejagat.
Turut hadir dalam pelancaran tersebut ialah Pengarah Urusan Kumpulan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, YBhg. Dato’ Sri Dr. Irmohizam Ibrahim; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; Ketua Editor Bahagian Majalah yang menjalankan tugas Pengarah Penerbitan, YBrs. Dr. Rosmani Omar dan Ketua Editor Bahagian Buku Umum, YM Tengku Fauziah Ku Mat.