Diterbitkan pada 28 Mei 2025, 15:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebanyak 22 buah buku baharu terbitan agensi Hal Ehwal Agama (HEA) dilancarkan di Pavilion al-Falah sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar berkata, usaha yang digerakkan oleh agensi HEA melalui pelibatan dalam ekspo buku tersebut merupakan manifestasi kepada hakikat bahawa amalan membaca merupakan jambatan ilmu, selari dengan wahyu pertama yang diturunkan, iaitu “iqra’”.

“Melalui amalan membaca, kita mampu menjelajah ke seluruh dunia hanya dengan menelusuri lembaran kertas.

“Hal ini menggambarkan bahawa budaya membaca bukan sahaja memperkaya minda, malah mampu melahirkan masyarakat MADANI yang bersifat kreatif, kritis dan berinovasi,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Pavilion al-Falah dan Pelancaran 22 Buku Baharu Agensi Pengurusan HEA, semalam.

Menurut beliau, penganjuran pavilion ini merupakan suatu langkah proaktif dalam usaha memupuk budaya membaca serta memperkukuh pemahaman terhadap ajaran Islam dalam kalangan masyarakat.

Tambah beliau, usaha ini diterjemahkan melalui penerbitan dan pengedaran bahan bacaan yang bermutu tinggi, sekali gus menyokong aspirasi kerajaan MADANI ke arah pembentukan masyarakat berilmu dan berakhlak mulia.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua agensi HEA yang menjayakan Pavilion al-Falah sempena PBAKL kali ini.

Penganjuran Pavilion al-Falah pada kali ini merupakan pelibatan dan kerjasama sebanyak 14 agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (HEA) yang berkolaborasi membawakan ekspo buku dan pameran pengurusan hal ehwal Islam.

Objektif utamanya adalah untuk memberikan kefahaman dan peluang masyarakat untuk mengenali agensi agama dengan lebih dekat, dan juga hasil karya yang berkualiti lagi bermanfaat.

Pavilion al-Falah turut menawarkan pelbagai pengisian sepanjang berlangsungnya PBAKL 2025, seperti segmen khas bersama-sama penulis, forum ilmiah, pelancaran buku, resensi buku baharu dan aktiviti interaktif untuk pengunjung daripada pelbagai latar belakang masyarakat.

Majlis Perasmian Pavilion al-Falah dan Pelancaran 22 Buku Baharu Agensi Pengurusan HEA semalam turut disiarkan secara dalam talian melalui pautan https://www.facebook.com/MyJAKIMmalaysia/videos/1086692070024781.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi