Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Tokoh ilmuwan Islam yang prolifik dalam bidang perundangan Islam, pendidikan, kewangan Islam, dakwah dan penyelidikan, Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Noor dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan yang baharu, berkuat kuasa mulai 23 Mei 2025.
Pelantikan berkenaan diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar menerusi suatu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, pelantikan ini telah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Beliau menjelaskan, hal tersebut mencerminkan keyakinan dan harapan tinggi kepimpinan negara terhadap kebolehan dan kewibawaan Sahibus Samahah Ahmad Fauwaz untuk mengemudi institusi fatwa dengan penuh integriti dan hikmah.
“Saya yakin dan percaya bahawa beliau akan memperkukuh lagi peranan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan sebagai institusi autoritatif yang menjadi rujukan umat Islam di Malaysia,” katanya.
Menurut YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im, Sahibus Samahah Ahmad Fauwaz aktif menyumbang dalam pelbagai institusi termasuklah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), institusi kewangan dan akademik.
“Kepakaran beliau dalam bidang usul fiqh, fiqh muamalat, fiqh perubatan serta kefahaman fiqh kontemporari amat diperlukan dalam usaha membentuk dasar hukum Islam yang seimbang, berlandaskan maqasid syariah dan selari dengan aspirasi Malaysia MADANI,” jelasnya.
“Sebagai ilmuwan yang sering muncul dalam media dan forum ilmiah, beliau dikenali sebagai tokoh yang mampu menjelaskan isu keagamaan semasa secara tuntas, inklusif dan bersifat mendidik,” ujarnya lagi.
YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im turut mengucapkan tahniah kepada Sahibus Samahah Ahmad Fauwaz yang baharu dan mendoakan semoga Allah SWT memberkati pelantikan berkenaan dan memberikan kekuatan kepada beliau untuk menjalankan amanah dengan penuh hikmah, integriti dan istiqamah.
Sebagai info, Sahibus Samahah Ahmad Fauwaz merupakan lulusan Sarjana Muda Syariah Islamiah dari Universiti al-Azhar, Mesir dari tahun 2000 hingga tahun 2004.
Beliau kemudiannya menyempurnakan pengajian Sijil Profesional Fatwa di Dar al-Ifta’ al-Misriyyah dari tahun 2005 hingga tahun 2008.
Beliau turut memiliki Ijazah Sarjana Usul Fiqh dari Universiti Malaya (UM) pada tahun 2017, selain pensijilan antarabangsa seperti Certified Sharia Advisor and Auditor (CSAA) oleh The Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions (AAOIFI).