Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Arau – Pertubuhan Kebajikan Al-Nidaa’ Malaysia kini menggagaskan strategi yang lebih tuntas dengan memberikan fokus kepada gerak kerja dakwah setempat, peluasan dakwah digital merentas sempadan, serta mempergiat usaha kebajikan yang lebih tersusun dan berimpak kepada masyarakat.
Perkara tersebut telah dipersembahmaklumkan oleh delegasi daripada Pertubuhan Kebajikan Al-Nidaa’ Malaysia dalam sesi sembah mengadap ke atas Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang berlangsung di Galeri DiRaja Arau, baru-baru ini.
Delegasi tersebut diketuai oleh Pengerusinya, Ustaz Shofwan Badrie Ahmad Badrie, bersama-sama Timbalan Pengerusi, Shapizan Johari, serta pengasas dan mantan Ketua Eksekutif pertubuhan, iaitu Haji Zainuddin Alang Mamat.
Delegasi Pertubuhan Kebajikan Al-Nidaa’ turut disertai oleh 15 orang lagi wakil pertubuhan.
Dalam sesi tersebut, pihak Al-Nidaa’ turut mempersembahkan laporan berkaitan dengan pelbagai aktiviti kebajikan, dakwah dan pendidikan yang telah dijalankan serta impak dan pencapaian positif yang berjaya dicapai oleh pertubuhan itu kepada komuniti.
Delegasi turut mempersembahkan perancangan strategik masa hadapan pertubuhan yang merangkumi pelan jangka pendek dan jangka panjang yang dirangka bagi memperluas lagi manfaat dan memperkukuh peranan Al-Nidaa’ dalam pembangunan masyarakat secara menyeluruh.
Sebagai rekod, Pertubuhan Kebajikan Al-Nidaa’ Malaysia merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam bidang pendidikan serta kerja kebajikan untuk insan dan komuniti.
Antara program yang dilaksanakan termasuklah pengagihan bantuan kewangan kepada golongan memerlukan seperti warga emas, keluarga miskin, ibu tunggal, saudara baru, anak yatim dan orang kurang upaya (OKU).