Diterbitkan pada 13 Mei 2025, 12:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun 2024 akan dikeluarkan pada 20 Mei 2025, Selasa.

KPM mengumumkan, sebanyak 4507 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan STAM Tahun 2024 di 132 buah pusat peperiksaan di seluruh negara.

Dalam suatu kenyataan, KPM berkata, calon sekolah boleh memperoleh keputusan peperiksaan STAM Tahun 2024 daripada sekolah masing-masing mulai pukul 10.00 pagi pada tarikh tersebut.

Bagi calon persendirian, KPM menyarankan agar calon menghubungi jabatan pendidikan negeri tempat calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan bagi memperoleh keputusan tersebut.

“Pihak sekolah hendaklah memastikan pengurusan penyerahan keputusan peperiksaan STAM Tahun 2024 kepada calon dilaksanakan secara cekap dan teratur,”ujarnya.

Sehubungan dengan itu, KPM menyebarkan kaedah bagi calon sekolah dan calon persendirian untuk membuat semakan keputusan peperiksaan, iaitu melalui kaedah secara dalam talian menerusi pautan myresultstam.moe.gov.my untuk mendapatkan slip keputusan peperiksaan STAM 2024.

Selain itu, calon juga boleh menyemak keputusan masing-masing secara sistem pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan ringkasan keputusan peperiksaan STAM 2024 dengan menaip STAM <jarak> Nombor Kad Pengenalan <jarak> Angka Giliran dan hantar ke 15888.

Menurut KPM, kedua-dua sistem penyemakan keputusan peperiksaan STAM tersebut akan diaktifkan mulai pukul 10.00 pagi pada 20 Mei 2025 (Selasa) hingga pukul 6.00 petang pada 26 Mei 2025 (Isnin).

KPM turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua calon peperiksaan STAM Tahun 2024.

“Semoga kejayaan yang diraih menjadi pemangkin untuk terus melakar kecemerlangan pada masa hadapan,” ujar KPM.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi