Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Perlis – Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) menyampaikan sumbangan zakat perniagaan berjumlah RM307,364 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Penyampaian sumbangan zakat perniagaan berkenaan diadakan bersempena dengan Majlis Hijrah Minda anjuran MAIPs yang berlangsung di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra baru-baru ini.
Selain itu, acara penyerahan tersebut disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail selaku Tuanku Yang DiPertua MAIPs.
Sementara itu, keberangkatan tiba baginda turut diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Pada majlis yang sama, baginda berdua turut berkenan menyempurnakan agihan sumbangan MAIPs berjumlah RM210,000 kepada 300 orang penerima yang terdiri daripada kalangan asnaf.

Agihan tersebut melibatkan 75 orang anak kariah dari Kampung Sungai Baru, 75 orang dari Kampung Sungai Berembang, 75 orang dari Kampung Sungai Padang dan 75 orang dari Kampung Guar Syed Alwi.
Setiap asnaf menerima sumbangan berjumlah RM700 seorang, yang bertujuan membantu memenuhi keperluan asas harian masing-masing.
Turut hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Syariah Bank Rakyat, YBrs. Encik Mohd Zamerey Abdul Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, YBrs. Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
