Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 9 Mei 2025, 20:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Doha – Akademi Fiqh Islam Antarabangsa (IIFA) akan menubuhkan cawangan serantau menerusi pembukaan Ibu Pejabat Asia Tenggara di Malaysia.

Pengumuman tersebut disampaikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee yang mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika berucap dalam Persidangan Majlis Akademi Fiqh Islam Antarabangsa Ke-26 baru-baru ini.

Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee yang mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika menyampaikan ucapannya dalam Persidangan Majlis Akademi Fiqh Islam Antarabangsa Ke-26. Sumber: Ketua Pengarah JAKIM

Beliau berkata inisiatif berkenaan merupakan suatu langkah bersejarah ke arah pemusatan semula wacana intelektual Islam dan pengiktirafan terhadap dinamisme keilmuan Islam di rantau tersebut.

Beliau menyatakan bahawa komitmen Malaysia untuk mempermudah usaha ini, selain mengharapkan kerjasama yang erat dengan Sekretariat IIFA untuk merealisasikan visi tersebut.

“Pejabat cawangan serantau ini bukan sahaja akan menjadi pusat kecemerlangan akademik dan penyelarasan penyelidikan, bahkan menjadi jambatan yang menghubungkan pelbagai institusi Islam, aktor masyarakat sivil dan badan kerajaan di rantau Asia Pasifik dengan rangkaian negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang lebih luas,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut mengulas pencapaian penting antara JAKIM dengan IIFA menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) pada 4 Disember lalu yang menandakan permulaan bentuk kerjasama yang lebih tersusun dalam bidang penyelidikan, pembangunan, pertukaran ilmu dan pelaksanaan program bersama.

Kami tidak menganggap MoU ini sekadar dokumen rasmi, tetapi sebagai komitmen yang hidup untuk memperkasakan keilmuan Islam dengan pendekatan inklusif, berpandangan jauh dan relevan dengan isu sebenar yang dihadapi oleh masyarakat Islam.

Dalam inti pati ucapannya juga, beliau mengumumkan bahawa Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Persidangan IIFA Ke-27 pada tahun hadapan.

Jelas beliau, pihaknya tidak melihat peluang ini sekadar menjadi tuan rumah semata-mata, tetapi sebagai sebuah platform untuk menampilkan kepimpinan, menjayakan dialog antara tamadun dan membentuk cadangan dasar yang membawa manfaat kepada seluruh negara umat Islam.

“Kami berharap Persidangan IIFA Ke-27 akan menjadi pemangkin kepada kerjasama rentas sempadan dalam menangani isu mendesak seperti tadbir urus, etika dalam teknologi dan kecerdasan buatan, radikalisasi belia, keadilan ekonomi, penjagaan alam sekitar dalam kerangka hukum Islam, serta peranan institusi fatwa dalam memperkukuh daya tahan komuniti,” katanya.

Di samping itu, beliau menekankan kepentingan strategik IIFA sebagai sebuah platform yang menghargai dan meraikan kepelbagaian pendapat dalam kerangka tradisi Islam yang murni.

Malah, IIFA dilihat sebagai medan penting dalam memupuk semangat ikhtilaf dan syura, yang menjadi asas kepada kesatuan berteraskan ilmu dan sifat tawaduk.

Beliau turut mengulas bahawa persidangan pada tahun ini menjadi sumber inspirasi, penyatuan dan memperbaharui tekad kolektif ke arah masa depan yang lebih adil dan sejahtera, seterusnya menjadi pemangkin kepada kerjasama serantau yang lebih erat, pembaharuan intelektual mampan serta penyelesaian bermakna terhadap keperluan umat Islam.

Kredit Foto: Kementerian Waqaf dan Hal Ehwal Islam Qatar
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi